Sunday, May 15, 2011

ANUGERAH REMAJA PERDANA ( ARPRM ) MEI 2011 “ MENCABAR REMAJA DI MANA JUA “.


Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda ( ARPRM ) bertujuan untuk member pengiktirafan oleh pihak kerajaan atas penglibatan remaja Malaysia yang berumur antara 14 hingga 25 tahun dalam bidang-bidang yang menyumbangkan kepada proses pembangunan mereka melalui pendekatan lapan (8) gaya hidup Rakan Muda.


Anugerah ini merupakan Skim Anugerah yang bertaraf Antarabangsa. Anugerah ini telah diadaptasi daripada The Duke Of Edinburgh’s Award atau dikenali sebagai The International Award For Young People yang mula diperkenalkan pada tahun 1956 di United Kingdom. Setakat ini sebanyak 126 buah Negara di seluruh dunia telah menyertai program anugerah ini. Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda ( ARPRM ) terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Gangsa, Perak Dan Emas. Peserta hendaklah memastikan mana-mana peringkat Anugerah yang disertai disempurnakan sebelum berumur 25 tahun berdasarkan jangka masa minima yang telah digariskan.


Anugerah ini bukan suatu pertandingan tetapi lebih menekankan kepada cabaran individu selain daripada gaya hidup yang seimbang, fleksibel serta penglibatan secara sukarela yang berterusan dan menyeronokkan. Ianya merupakan satu wadah bagi member sokongan dan semangat kepada golongan remaja dalam menanamkan nilai-nilai yang berkualiti seperti semangat bekerjasama, sukarela, patriotic dan sebagainya kearah mencapai personaliti unggul.


Justeru ini sekali lagi pihak Pejabat Belia Dan Sukan (P) Bahagian Pedalaman Bawah Beaufort akan menganjurkan Program ANUGERAH REMAJA PERDANA RAKAN MUDA ( GANGSA ) Peringkat Pedalaman Bawah yang melibatkan 3 parlimen iaitu Parlimen Beaufort, Parlimen Kimanis Dan Parlimen Sipitang. Program ini akan diadakan pada bulan Mei 2011 ini. Program ini akan melibatkan peserta seramai 60 orang dari pada 3 parlimen tersebut. Pihak JBS telah melantik jurulatih berpengalaman dalam menjalankan aktiviti semasa program tersebut. Jurulatih yang dilantik tersebut adalah Leftenan Muda Tuan Matlen bin Sarudin ( Jabatan Pertahanan Awam ) dan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Bahagian Pedalaman Bawah, Encik Kahar bin Buntak. Mereka akan menilai semua aktiviti dan penglibatan peserta sepanjang program tersebut.


Antara komponen perisian aktiviti ARPRM bagi Pingat Gangsa ini, melibatkan aktiviti Khidmat Masyarakat, Kemahiran, Rekreasi Fizikal dan Penjelajahan Lasak. Aktiviti ini bertujuan untuk memupuk sifat bertanggungjawab, semangat kesukerelaan, pembangunan kemahiran diri, informasi, berkomunikasi, gaya hidup aktif, semangat kesukanan, kekuatan fizikal dan mental serta kekuatan jati diri yang sempurna.


Kesimpulannya program ini amat berguna kepada golongan remaja yang masih mempunyai banyak peluang dalam membantu masa depan yang lebih cerah dan cemerlang. Dan sekali lagi pihak Kelab Rakan Muda Beaufort mewakili ahli-ahli kelab mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Pejabat Belia Dan Sukan (P) Bahagian Pedalaman Bawah Beaufort ( En Norman Ramlan - Pegawai Belia Dan Sukan (P) Bhg Pedalaman Beaufort dan Kakitangan ) kerana memberi peluang kepada golongan remaja dalam menganjurkan program ini.


Untuk keterangan atau pertanyaan selanjutnya bolehlah berhubung terus dengan Ketua Penyelaras Program ARPRM yang juga Penolong Pegawai Belia dan Sukan (P) Bahagian Pedalaman Bawah, Encik Mohamad Safwan bin Ibrahim di talian 087211625 (hari dan waktu pejabat sahaja).


Sekian dan harap maklum.




No comments: