Friday, August 13, 2010

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK




Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB) mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa kepada semua ahli KRMB dan komuniti Rakan Muda di seluruh Malaysia. Semoga pahala, amalan dan segala kebaikan yang kita lakukan akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yakni fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam. (Surah Al-Baqarah:187). FIRMAN Allah yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Ibadat puasa Ramadan mula difardukan kepada Rasulullah SAW dan umat Islam pada tahun ke-2 hijrah. Sebelum difardukan puasa sebulan pada Ramadan, Nabi Muhammad SAW sudah biasa dengan amalan berpuasa. Baginda berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam) dan puasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan. Berpuasa 10 Muharam turut menjadi amalan orang Quraisy Makkah, Yahudi dan Nasrani di Madinah. Puasa pada syarak ialah menahan diri daripada makan dan minum serta melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari. Rukun puasa ada tiga, iaitu orang berpuasa, niat dan meninggalkan perkara yang boleh membatalkan puasa.

Sahabat Nabi, Jabir bin Abdullah berkata: Jika kamu berpuasa, maka hendaklah kamu berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu daripada perkataan dusta dan segala yang haram. Janganlah kamu menyakiti jiran tetangga, hendaklah kamu bersikap tenang dan sabar dan janganlah kamu jadikan hari-hari puasamu itu sama dengan hari-hari ketika kamu tidak berpuasa. Nabi Adam dan Hawa manusia pertama berpuasa dengan tujuan membersihkan diri daripada keterlanjuran mereka memakan buah khuldi yang menjadi larangan Allah ketika berada di syurga.

Manakala Nabi Daud pula berpuasa selang sehari dan puasa baginda diibaratkan Allah sebagai puasa yang amat mulia. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi Muhammad melalui sabdanya yang bermaksud: Puasa yang amat dikasihi oleh Allah adalah puasa Nabi Daud yang berpuasa sehari dan berbuka sehari. (Hadis riwayat Tirmizi dan Nasai). Di antara Nabi lain yang dikatakan turut berpuasa ialah Nabi Daniel, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Isa dan golongan penyokongnya dikenali sebagai al-Hawariyun. Nabi Musa ketika bermunajat kepada Allah di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam, berpuasa daripada memakan roti dan meminum air.

Manifestasi daripada ibadat puasa ini, Ramadan dianggap sebagai madrasah atau bengkel kerohanian kerana umat Islam melalui pelbagai proses latihan dan ujian ditetapkan Allah Taala. Saidina Ali ada memberikan definisi menarik mengenai takwa iaitu takut kepada Allah, beramal dengan perintah-Nya, reda dengan sedikit dan bersiap sedia menghadapi hari kematian. Kesemua ciri takwa ini cuba dibajai dan disemai kepada setiap Muslim melalui ibadat puasa pada Ramadan.

Imam al-Ghazali menerangkan kedudukan ibadat puasa dengan ibadat lain bahawa puasa adalah satu perempat iman berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Berpuasa itu separuh daripada sabar. (Riwayat Ibnu Majah). Maksud hadis Rasulullah yang lain: Sabar itu separuh daripada iman.


No comments: