Wednesday, June 30, 2010

PEMBUKAAN RASMI PUSAT SIBER RAKAN MUDA KAWASAN BEAUFORT


Selamat Datang ke Kelab Rakan Muda Beaufort...



Assalamualaikum WRT....
Salam Sejahtera & Salam Rakan Muda,


Diumumkan kepada semua ahli Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB) & komuniti Rakan Muda di kawasan Parlimen Beaufort bahawa dimaklumkan Pusat Siber Rakan Muda Kawasan Beaufort akan dibuka secara rasmi pada 02hb Julai 2010 ini. Pusat ini adalah terbuka kepada semua remaja yang berumur 15 hingga 26 tahun untuk menggunakan kemudahan yang disediakan secara percuma. Pusat ini menyediakan perkhidmatan komputer berinternet untuk memudahkan para remaja mendapatkan segala maklumat yang diperlukan.


Untuk melayakkan remaja menggunakan perkhidmatan di Pusat Siber ini, mereka mestilah mendaftar sebagai ahli KRMB terlebih dahulu kerana hanya ahli KRMB ataupun Rakan Muda sahaja dibenarkan menggunakan perkhidmatan ini. Sukacita juga dimaklumkan bahawa remaja yang memakai seragam sekolah adalah dilarang untuk menggunakan kemudahan ini.


Pusat Siber Rakan Muda ini akan dibuka setiap hari Jumaat hingga Selasa setiap minggu bermula pada jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang. Selain daripada kemudahan internet, pusat ini juga berfungsi sebagai pusat kegiatan KRMB yang mana kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi ahli KRMB, mengetahui perkembangan semasa Rakan Muda, ingin menyertai mana-mana program Rakan Muda, Belia dan Sukan, semuanya boleh diperolehi di sini.


Presiden KRMB, saudara Muhd Junidin Jamlan berkata, ini adalah satu lagi kejayaan terbaru KRMB dalam menggerakkan lagi pembangunan dan kemajuan komuniti Rakan Muda di kawasan Parlimen Beaufort. Beliau berharap semua pihak akan dapat memberikan kerjasama dan memanfaatkan pusat siber ini dengan sebaiknya. Beliau juga berharap dengan pembukaan ini semakin ramai remaja akan dapat menjadi ahli KRMB. Buat masa ini, Setiausaha Agung KRMB, saudara Nurul Hardy Japar sedang mengemas kini daftar keahlian yang dibuat secara manual mahupun online dan apabila selesai, senarai daftar keahlian akan dikeluarkan untuk semakan semua ahli KRMB..


KRMB : Satu Perjalanan Ke Masa Depan.....


Tuesday, June 15, 2010

PROGRAM PEMIMPIN BELIA BERKALIBER 2010


Belia merupakan golongan terpenting dalam pembangunan insan.


Assalamualaikum WRT & Salam Rakan Muda,


Dimaklumkan bahawa pihak Pejabat Belia & Sukan (P) Bahagian Beaufort dengan kerjasama Pejabat Belia & Sukan (P) Bahagian Keningau akan menganjur program pembangunan belia yang dinamakan Program Pemimpin Belia Berkaliber Peringkat Bahagian Beaufort & Bahagian Keningau. Program ini dijadualkan akan dilaksanakan sekitar bulan Jun 2010 (tarikh muktamad akan dimaklumkan kemudian) dan dilaksanakan di Binsulok Nature Resort, Membakut, Sabah.


Mengikut maklumat yang diperolehi, program ini dikhaskan kepada semua pemimpin persatuan-persatuan belia yang berdaftar di Bahagian Beaufort dan Bahagian Keningau. Program ini adalah berobjektifkan melahirkan pemimpin belia yang berdaya saing, berkualiti, berwawasan dan mempunyai visi serta misi dalam merencanakan seterusnya menjayakan persatuan belia yang dipimpin.


Untuk sebarang pertanyaan atau mahu mengikuti program ini, bolehlah menghubungi Encik Aziz bin Ason di talian 087-211625 (waktu pejabat).


KRMB : Satu Perjalanan Ke Masa Depan.....
.
* Kursus ini akan diadakan pada 27 Jun 2010 bersamaan Hari Ahad bermula pada jam 10.00 Pagi hingga 5.00 Petang...Harap Maklum..


PROGRAM RAKAN MUDA JIRAN MUDA PERINGKAT BAHAGIAN BEAUFORT



Ahli Jawatankuasa Pelaksana RMJM Peringkat Bahagian Beaufort 2010.



Assalamualaikum WRT & Salam Rakan Muda,

Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pejabat Belia & Sukan (Persekutuan) Bahagian Beaufort dan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Daerah Beaufort kerana telah berjaya menganjurkan satu program yang dinamakan Program Rakan Muda Jiran Muda Peringkat Bahagian Beaufort di Kampung Linsuk, Kuala Penyu pada 06hb-11hb Jun 2010 yang lalu.


Program Rakan Muda Jiran Muda (RMJM) ini berobjektifkan melahirkan remaja yang berkebolehan, berdedikasi, patriotik dan jati diri yang tinggi ternyata berjaya mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan. RMJM ini telah diketuai oleh Kem Komandan yang tidak asing lagi iaitu Leftenan Muda Matlen Sarudin dibantu oleh barisan pelaksana yang terdiri daripada Fasilitator Belia Negeri yang juga Penasihat Bukan Eksekutif KRMB, Mohd Nadzley Harith, Presiden KRMB sendiri, Muhd Junidin Jamlan, Setiausaha Agung KRMB, Nurul Hardy Japar, Pengerusi Kelab Rakan Muda Kimanis, Zuraini Jablin, Ahli Majlis Tertinggi Kelab Rakan Muda Kimanis, Rezuan Munap dan Junaidah Mustapha. Program ini telah dirasmikan oleh YB Tuan John Teo Mau Sing, Ahli Dewan Undangan Negeri N26 Kuala Penyu.


Presiden KRMB, Muhd Junidin Jamlan berkata, program ini telah berjalan dengan jayanya hasil daripada kerjasama yang mantap dikalangan ahli jawatankuasa yang ada. Beliau juga telah memberi sedikit penerangan mengenai Kelab Rakan Muda Beaufort di sepanjang program untuk pemahaman dan meningkatkan semangat para peserta untuk terus aktif dalam program Rakan Muda selepas RMJM selesai. Menyentuh mengenai keahlian KRMB, beliau mengalu-alukan pendaftaran remaja khususnya di kawasan Parlimen Beaufort untuk mendaftar menjadi ahli KRMB. Mengenai permohonan secara online, KRMB telah banyak menerima permohonan kemasukan menjadi ahli dan nama-nama ahli ini akan dipaparkan di laman blog ini tidak lama lagi.

KRMB : Satu Perjalanan Ke Masa Depan.


Leftenan Muda Matlen Sarudin sedang mengarahkan sesuatu kepada peserta...

Antara peserta RMJM kali ini....


Bergotong-royong bersama-sama penduduk tempatan....


Saudara Aziz Ason memantau aktiviti sepanjang program RMJM.



Sesi pembentangan kumpulan...jangan nyanyi sudah lah.....

Bergambar kenangan bersama penduduk tempatan yang bersama menjayakan RMJM..


Bersama YB Tuan John Teo Mau Sing, ADUN N26 Kuala Penyu....



Semoga berjumpa lagi di dalam program yang lain.......

Tuesday, June 8, 2010

APABILA AHLI BERSUARA.....




KEMBALIKAN SEMULA JAWATAN NAIB PRESIDEN


Dalam satu tinjauan dan soal selidik yang dijalankan ke atas ahli-ahli KRMB selama satu bulan, rata-rata meluahkan pendapat mengenai keperluan KRMB untuk mengembalikan semula jawatan Naib Presiden yang telah dihapuskan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa KRMB pada awal tahun yang lalu.


Untuk rekod, jawatan Naib Presiden diwujudkan sejak KRMB berstatus Ahli Jawatankuasa Penaja lagi dan ianya pernah disandang oleh Fadzli Awang dan Noralizawati Mat Sam. Berikut adalah keputusan rasmi hasil tinjauan tersebut :-


Wajarkah Jawatan Naib Presiden KRMB Kembali Diwujudkan?


(82%) - Wajar

(55%) - Serahkan Kepada Presiden Membuat Keputusan

(27%) - Tidak Wajar

(24%) - Tidak Pasti


Pihak KRMB mengalu-alukan sebarang pendapat, idea dan pandangan daripada semua ahli KRMB mahupun pengunjung blog ini dalam apa jua perkara untuk memastikan KRMB terus segar dan bergerak maju ke hadapan. Pihak KRMB amat terbuka dalam menerima sebarang buah fikiran daripada anda. Sekian dan terima kasih.


KRMB : Satu Perjalanan Ke Masa Depan

SELAMAT PENGANTIN BARU


Bagai Pinang Dibelah Dua, Sama Cantik Sama Padan...


Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB) mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada Penolong Pegawai Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Beaufort, saudara Safwan Ibrahim Al-Edrus yang telah melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya pada 31 Mei 2010 yang lalu.

KRMB mendoakan semoga ikatan yang dibina diberkati dan disirami dengan keharmonian serta moga kekal hingga ke anak cucu. Amin....

Tahniah saudara Safwan.....