Tuesday, March 16, 2010

TUAH SERTAI RAJA LAWAK

* PETIKAN AKHBAR KOSMO!, 16 MAC 2010....

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

DARI kiri: Johan, Zizan, Din Beramboi, Bob Lokman dan Afdlin Shauki menghidupkan lagi Raja Lawak.

--------------------------------------------------------------------------------


BAGI mereka yang tidak mengikuti perjalanan program realiti Raja Lawak musim keempat, anda mungkin berpendapat Alex lebih berhak ditabalkan juara berdasarkan persembahannya di peringkat akhir yang berlangsung pada malam Ahad lalu.

Pandangan itu turut disokong oleh dua juri tetapnya, Afdlin Shauki dan Bob Lokman. Namun, bagi sebuah program yang dinilai 100 peratus oleh audiens, undian lebih berpihak kepada satu-satunya peserta berkumpulan yang berentap di pentas final, kumpulan Kecik.

Keputusan itu tidak mengejutkan kerana mereka memberikan persembahan meyakinkan pada minggu separuh akhir yang mana undiannya dikumpul sejak itu sehingga malam akhir pertandingan.

Kumpulan Kecik yang mendahului menumpaskan Alex dan Idlan dengan mengutip 49.5 peratus. Satu angka yang agak jauh berbanding tempat kedua dengan 32.3 peratus. Sementara itu, Alex di tempat ketiga hanya berjaya mengutip 18.2 peratusan undian.

Tidak bermaksud mahu menafikan mana-mana bakat, cuma persembahan konsisten Alex lebih menyerlah berbanding kumpulan Kecik yang adakalanya lawak mereka tidak difahami kerana padat dengan dialek Sabah. Malah Idlan yang tersungkur pada segmen pertama juga berjaya mengatasi bakat Alex.

"Minggu lalu, Kecik memang bagus dan undian dikira bermula Isnin lalu. Pada saya, Alex patut menang tetapi pertandingan ini adalah berdasarkan undian SMS. Mungkin audiens nampak kekuatan Kecik. Tapi tidak kira siapa yang menang saya percaya Alex akan mempunyai peluang karier yang cerah pada masa depan," kata Afdlin pada sidang media selepas pertandingan.



KAMI juara. Kumpulan Kecik merupakan juara baru Raja Lawak.

--------------------------------------------------------------------------------

Bob Lokman juga bersetuju dengan menyatakan Alex merupakan pilihan dari awal. "Kami memang mahukan bakat baru seperti Alex dalam industri. Pada kami, Alex berkemampuan untuk beraksi pada majlis skala besar."

Mendengar komen juri, kumpulan Kecik yang dianggotai oleh Achoe dan Wan bagaimanapun sedikit tidak cemburu. "Memang diakui Alex merupakan peserta kegemaran juri. Tapi kami tidak kecil hati. Lagipun Alex juga berasal dari Sabah. Apa yang penting adalah kami sama-sama memeriahkan majlis," jelas Wan yang terkejut dengan kemenangan mereka.

Sebelum mendapat nama kumpulan sebagai Kecik, mereka berdua dikenali sebagai Onar dan kemudian Lelaki Soleha. Namun, kedua-dua nama itu tidak sesuai sehingga Kecik menjadi pilihan. Menyertai uji bakat di Sabah dengan seorang lagi kawan mereka, namun, hanya Achoe dan Wan mara ke peringkat seterusnya.

Ini kerana seorang teman mereka tarik diri pada saat-saat akhir. Malah semasa berada di Top 10, Kecik menyangka mereka akan tersingkir seawal minggu ketiga. "Yalah, kami tidak ada rupa paras yang menawan. Manalah nak ada peminat? Tidak sangka pula kami akan sampai peringkat akhir dan kini bergelar juara pula.

"Pada kami, senang untuk mendapat gelaran juara tetapi sukar untuk menggalas tanggungjawab sebagai juara. Banyak lagi benda yang perlu kami belajar. Hadiah juga tidak begitu penting kerana apa yang dihargai adalah pengalaman," kata Achoe yang mahu membayar nazar bersama Wan.

Walaupun mahu memperbaiki dialek Sabah, Kecik yang menerima hadiah sebuah kenderaan Naza Sorento dan wang tunai RM14,000 tidak akan melupakan percakapan harian mereka. Lagipun mana-mana program terbitan Astro bukan sahaja ditayangkan di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Cuma apa yang ditakuti Kecik adalah kemungkinan kembali kepada kerja lama jika perjalanan karier mereka tidak berjalan lancar. "Memang kami takut tetapi kami mahu cuba sedaya upaya untuk bernafas dalam industri. Kami berasal dari kampung dan bukan senang bagi orang menerima kami. Tapi kami cuma mahu membuat orang ketawa."



TENGAH: Idlan dengan gaya dan lawak bersahaja menghiburkan audiens.

--------------------------------------------------------------------------------


Achoe berasal dari Tuaran, Sabah dan Wan dari Beaufort, Sabah. Jarak kedua-dua tempat itu melebihi 300 kilometer. Jadi bagaimana mereka berdua bertemu?

"Sebenarnya kami kenal semasa program Rakan Muda pada tahun 2002. Di sana kami amat serasi tetapi tidak berhubung selepas itu. Jadi semasa saya mengetahui mengenai Raja Lawak, saya cuba menghubungi Wan.

"Saya mendapatkan nombor telefon rumah Wan daripada kawan saya dan ibunya memberitahu bahawa Wan bekerja di Petronas, Kota Kinabalu (KK). Jadi saya mencari di semua Petronas KK dan mengajak dia untuk uji bakat," ujar Achoe.

MOHON MAAF

Terus meminta maaf atas kesilapannya pada sidang media, pemuda yang berasal dari Kulim, Kedah mengakui dia lupa skrip dan tidak dapat berfikir bagaimana untuk meneruskan persembahannya. Semua itu terjadi kerana dia berasa gemuruh melihat penonton yang ramai di Auditorium Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA).

"Semasa latihan penuh, saya sudah bersedia sepenuhnya. Saya cuba atasi perasaan cemas itu tetapi tidak terkawal. Mungkin saya kurang bernasib baik malam ini atau kerana saya terlalu menghafal skrip," ujar Idlan.

Walaupun melakukan kesalahan, pemuda berusia 21 tahun itu tidak berasa kecewa. Katanya yang menerima sebuah kereta Naza Optima dan wang tunai bernilai RM11,000, dia tidak pernah kecewa dalam hidupnya.

"Kalau diikutkan, saya tidak pernah mendapat nombor dua dalam hidup saya termasuk di sekolah. Jadi kemenangan ini sudah mencukupi. Namun, saya berasa sedikit sedih kerana tidak dapat memberikan apa yang dikehendaki penonton. Nasib baik saya tebus kembali pada persembahan kedua."

Memasuki uji bakat kerana merasakan dirinya boleh berlawak, Idlan juga tidak kisah jika dirinya perlu kembali kepada kerja asal sekiranya percaturan dalam dunia hiburan tidak berjaya.

Katanya yang mahu membesarkan rumahnya dengan wang kemenangan, "Saya tidak pernah malu kerja saya. Kalau tidak berjaya, saya bercadang untuk membesarkan perniagaan saya."

JADI PELAKON, PENYANYI

Bagi Alex yang merupakan jurulatih sambilan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), berada di tempat ketiga diterimanya dengan positif. Alex mahu membuktikan kepada pelajar serta pelatih lain bahawa dia juga mampu mencapai impiannya.

Walaupun memberikan persembahan konsisten, Alex mengakui dirinya mempunyai kelemahan tersendiri. "Menari sambil menyanyi merupakan kelemahan saya kerana saiz badan. Namun, malam ini saya mahu menikmati setiap saat yang membolehkan saya memberikan persembahan terbaik.

"Lagipun tajuk yang diberikan minggu ini paling senang. Apa yang penting bukannya kemenangan tetapi persembahan," katanya yang mahu menggunakan wang kemenangan untuk meringankan beban keluarga.

Tidak mempunyai kerja tetap sebelum ini kerana sering ditolak atas faktor saiz badan, Alex bagaimanapun bersyukur kerana diberi peluang lain dalam Raja Lawak. Peluang untuk berjumpa dengan artis dan para juri merupakan pengalaman manisnya.

"Saya sebenarnya suka menyanyi dan berlakon. Dengan adanya peluang sebegini, saya lebih mendekati impian. Yalah, kalau saya pergi mana-mana uji bakat, siapa yang mahukan orang seperti saya. Sekarang saya sudah bersedia untuk bergelar anak seni," ujar Alex yang membawa pulang sebuah motosikal Naza Blade 250R dan wang tunai RM8,000.

6 comments:

ابڠ بيکا said...

ASAL DARI KAMPUNG..
BANGGA AKU KAMU KASI KALAH ORANG SEMENANJUNG !!

Anonymous said...

sapa pun pemenang,sabah tak malu ada wakil macam alex dan kecil

megi kambang..

Anonymous said...

IDLAN pn best

pon pon

Anonymous said...

TAHNIAH SAYA UCAPKAN KEPADA SAFWAN DAN KUMPULAN KECIK KERANA BERJAYA MENJADI ORANG SABAH PERTAMA MEMENANGI GELARAN RAJA LAWAK ASTRO MUSIM 4. TERNYATA MONOPOLI SEBELUM INI BERJAYA DIPECAHKAN, BUKAN SAJA DALAM RAJA LAWAK, DTAPI DALAM LAIN-LAIN PROGRAM REALITI SEPERTI AKADEMI FANTASIA, MENTOR, GENGSTARS, ONE IN A MILIION DAN LAIN2 LAGI. SAYA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH KEPADA SEMUA ATAS KEJAYAAN INI.

JOKOSAN

Anonymous said...

jgn banyak ckp la korg ahahahaha...........

cili padi.... said...

ahahahhaha.;.....zzzzz