Tuesday, March 23, 2010

PAINTBALL MASTER RAKAN MUDA 2010


Team KRMB Warrior yang diketuai oleh Presiden KRMB (tengah).



Pada 13hb Februari 2010 yang lalu, Pejabat Belia dan Sukan (Persekutuan) Bahagian Beaufort dengan kerjasama Kelab Rakan Muda Beaufort telah mengadakan satu program yang dinamakan Paintball Master Rakan Muda 2010. Program ini telah diadakan di salah sebuah pusat paintball di jalan Bukit Melinsung, Beringgis, Papar.


Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB) telah menghantar beberapa pasukan dalam program ini yang diketuai sendiri oleh Presidennya, Muhd Junidin Jamlan, Timbalan Presiden KRMB, Noralizawati Matsam serta Ahli Majlis Tertinggi KRMB yang lain dan ahli-ahli KRMB. Progrm ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 3.00 petang.


Dalam pada itu, Presiden KRMB mengharapkan program ini dapat dijadikan acara tahunan kerana sukan paintball adalah salah satu cabang sukan yang mencabar dan memupuk budaya serta nilai-nilai murni dalam diri remaja. Program ini amat baik dalam menghindar remaja dalam permasalahan sosial yang semakin menjadi sejak akhir-akhir ini.


KRMB : Satu Perjalanan Ke Masa Depan...........



Pasukan KRMB Hunter yang diketuai Timbalan Presiden (Kiri).
Aksi sebelum perlawanan paintball....

Aksi pengganas yang tak berapa ganas.....

Thursday, March 18, 2010

PUSAT KEGIATAN RAKAN MUDA KAWASAN BEAUFORT


Selamat Datang Ke Pusat Kegiatan Rakan Muda Beaufort.



Berita Baik Untuk Komuniti Rakan Muda!


Pusat Kegiatan Rakan Muda Beaufort sudah bersiap sedia untuk beroperasi! Kepada semua ahli KRMB dan komuniti Rakan Muda di kawasan Parlimen Beaufort adalah dialu-alukan untuk datang ke Pusat Kegiatan Rakan Muda Beaufort bertempat di Tingkat 1, Wisma Arjuna, Pekan Beaufort (bertentangan dengan kedai emas Tai Loy) pada bila-bila masa yang anda mahu.


Pusat Kegiatan Rakan Muda Beaufort terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama menempatkan Pusat Siber Rakan Muda, dimana anda boleh menggunakan kemudahan internet yang disediakan secara percuma di pusat ini. Bagi bukan ahli KRMB, anda perlu mendaftarkan diri dahulu sebagai ahli KRMB sebelum dapat menggunakan kemudahan ini. Bahagian kedua pula adalah pejabat operasi Kelab Rakan Muda Beaufort yang masih dalam proses 'renovation' dan dijangka siap sebelum pertengahan tahun ini. Pejabat ini akan menjadi ibu pejabat KRMB yang menempatkan pejabat Presiden KRMB, Bilik Mesyuarat dan Bilik Aktiviti KRMB.


Besarlah harapan KRMB untuk melihat lebih ramai ahli KRMB mengunjungi Pusat Kegiatan Rakan Muda ini yang diwujudkan khas untuk komuniti Rakan Muda dan pelbagai aktiviti dan program akan dijalankan di pusat ini. Silalah berkunjung selalu ke pusat kegiatan atau melayari laman blog ini untuk mendapatkan info terkini program serta aktiviti Rakan Muda di sekitar Parlimen Beaufort.


KRMB : Satu Perjalanan Ke Masa Depan.



Keselesaan dan kemudahan 'meeting point'.



Pejabat Presiden KRMB.



Kemudahan pusat ini dilengkapi dengan aircond.



Sumber inspirasi epilog kejayaan KRMB setakat ini.

Tuesday, March 16, 2010

TUAH SERTAI RAJA LAWAK

* PETIKAN AKHBAR KOSMO!, 16 MAC 2010....

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

DARI kiri: Johan, Zizan, Din Beramboi, Bob Lokman dan Afdlin Shauki menghidupkan lagi Raja Lawak.

--------------------------------------------------------------------------------


BAGI mereka yang tidak mengikuti perjalanan program realiti Raja Lawak musim keempat, anda mungkin berpendapat Alex lebih berhak ditabalkan juara berdasarkan persembahannya di peringkat akhir yang berlangsung pada malam Ahad lalu.

Pandangan itu turut disokong oleh dua juri tetapnya, Afdlin Shauki dan Bob Lokman. Namun, bagi sebuah program yang dinilai 100 peratus oleh audiens, undian lebih berpihak kepada satu-satunya peserta berkumpulan yang berentap di pentas final, kumpulan Kecik.

Keputusan itu tidak mengejutkan kerana mereka memberikan persembahan meyakinkan pada minggu separuh akhir yang mana undiannya dikumpul sejak itu sehingga malam akhir pertandingan.

Kumpulan Kecik yang mendahului menumpaskan Alex dan Idlan dengan mengutip 49.5 peratus. Satu angka yang agak jauh berbanding tempat kedua dengan 32.3 peratus. Sementara itu, Alex di tempat ketiga hanya berjaya mengutip 18.2 peratusan undian.

Tidak bermaksud mahu menafikan mana-mana bakat, cuma persembahan konsisten Alex lebih menyerlah berbanding kumpulan Kecik yang adakalanya lawak mereka tidak difahami kerana padat dengan dialek Sabah. Malah Idlan yang tersungkur pada segmen pertama juga berjaya mengatasi bakat Alex.

"Minggu lalu, Kecik memang bagus dan undian dikira bermula Isnin lalu. Pada saya, Alex patut menang tetapi pertandingan ini adalah berdasarkan undian SMS. Mungkin audiens nampak kekuatan Kecik. Tapi tidak kira siapa yang menang saya percaya Alex akan mempunyai peluang karier yang cerah pada masa depan," kata Afdlin pada sidang media selepas pertandingan.



KAMI juara. Kumpulan Kecik merupakan juara baru Raja Lawak.

--------------------------------------------------------------------------------

Bob Lokman juga bersetuju dengan menyatakan Alex merupakan pilihan dari awal. "Kami memang mahukan bakat baru seperti Alex dalam industri. Pada kami, Alex berkemampuan untuk beraksi pada majlis skala besar."

Mendengar komen juri, kumpulan Kecik yang dianggotai oleh Achoe dan Wan bagaimanapun sedikit tidak cemburu. "Memang diakui Alex merupakan peserta kegemaran juri. Tapi kami tidak kecil hati. Lagipun Alex juga berasal dari Sabah. Apa yang penting adalah kami sama-sama memeriahkan majlis," jelas Wan yang terkejut dengan kemenangan mereka.

Sebelum mendapat nama kumpulan sebagai Kecik, mereka berdua dikenali sebagai Onar dan kemudian Lelaki Soleha. Namun, kedua-dua nama itu tidak sesuai sehingga Kecik menjadi pilihan. Menyertai uji bakat di Sabah dengan seorang lagi kawan mereka, namun, hanya Achoe dan Wan mara ke peringkat seterusnya.

Ini kerana seorang teman mereka tarik diri pada saat-saat akhir. Malah semasa berada di Top 10, Kecik menyangka mereka akan tersingkir seawal minggu ketiga. "Yalah, kami tidak ada rupa paras yang menawan. Manalah nak ada peminat? Tidak sangka pula kami akan sampai peringkat akhir dan kini bergelar juara pula.

"Pada kami, senang untuk mendapat gelaran juara tetapi sukar untuk menggalas tanggungjawab sebagai juara. Banyak lagi benda yang perlu kami belajar. Hadiah juga tidak begitu penting kerana apa yang dihargai adalah pengalaman," kata Achoe yang mahu membayar nazar bersama Wan.

Walaupun mahu memperbaiki dialek Sabah, Kecik yang menerima hadiah sebuah kenderaan Naza Sorento dan wang tunai RM14,000 tidak akan melupakan percakapan harian mereka. Lagipun mana-mana program terbitan Astro bukan sahaja ditayangkan di Semenanjung tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Cuma apa yang ditakuti Kecik adalah kemungkinan kembali kepada kerja lama jika perjalanan karier mereka tidak berjalan lancar. "Memang kami takut tetapi kami mahu cuba sedaya upaya untuk bernafas dalam industri. Kami berasal dari kampung dan bukan senang bagi orang menerima kami. Tapi kami cuma mahu membuat orang ketawa."



TENGAH: Idlan dengan gaya dan lawak bersahaja menghiburkan audiens.

--------------------------------------------------------------------------------


Achoe berasal dari Tuaran, Sabah dan Wan dari Beaufort, Sabah. Jarak kedua-dua tempat itu melebihi 300 kilometer. Jadi bagaimana mereka berdua bertemu?

"Sebenarnya kami kenal semasa program Rakan Muda pada tahun 2002. Di sana kami amat serasi tetapi tidak berhubung selepas itu. Jadi semasa saya mengetahui mengenai Raja Lawak, saya cuba menghubungi Wan.

"Saya mendapatkan nombor telefon rumah Wan daripada kawan saya dan ibunya memberitahu bahawa Wan bekerja di Petronas, Kota Kinabalu (KK). Jadi saya mencari di semua Petronas KK dan mengajak dia untuk uji bakat," ujar Achoe.

MOHON MAAF

Terus meminta maaf atas kesilapannya pada sidang media, pemuda yang berasal dari Kulim, Kedah mengakui dia lupa skrip dan tidak dapat berfikir bagaimana untuk meneruskan persembahannya. Semua itu terjadi kerana dia berasa gemuruh melihat penonton yang ramai di Auditorium Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA).

"Semasa latihan penuh, saya sudah bersedia sepenuhnya. Saya cuba atasi perasaan cemas itu tetapi tidak terkawal. Mungkin saya kurang bernasib baik malam ini atau kerana saya terlalu menghafal skrip," ujar Idlan.

Walaupun melakukan kesalahan, pemuda berusia 21 tahun itu tidak berasa kecewa. Katanya yang menerima sebuah kereta Naza Optima dan wang tunai bernilai RM11,000, dia tidak pernah kecewa dalam hidupnya.

"Kalau diikutkan, saya tidak pernah mendapat nombor dua dalam hidup saya termasuk di sekolah. Jadi kemenangan ini sudah mencukupi. Namun, saya berasa sedikit sedih kerana tidak dapat memberikan apa yang dikehendaki penonton. Nasib baik saya tebus kembali pada persembahan kedua."

Memasuki uji bakat kerana merasakan dirinya boleh berlawak, Idlan juga tidak kisah jika dirinya perlu kembali kepada kerja asal sekiranya percaturan dalam dunia hiburan tidak berjaya.

Katanya yang mahu membesarkan rumahnya dengan wang kemenangan, "Saya tidak pernah malu kerja saya. Kalau tidak berjaya, saya bercadang untuk membesarkan perniagaan saya."

JADI PELAKON, PENYANYI

Bagi Alex yang merupakan jurulatih sambilan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), berada di tempat ketiga diterimanya dengan positif. Alex mahu membuktikan kepada pelajar serta pelatih lain bahawa dia juga mampu mencapai impiannya.

Walaupun memberikan persembahan konsisten, Alex mengakui dirinya mempunyai kelemahan tersendiri. "Menari sambil menyanyi merupakan kelemahan saya kerana saiz badan. Namun, malam ini saya mahu menikmati setiap saat yang membolehkan saya memberikan persembahan terbaik.

"Lagipun tajuk yang diberikan minggu ini paling senang. Apa yang penting bukannya kemenangan tetapi persembahan," katanya yang mahu menggunakan wang kemenangan untuk meringankan beban keluarga.

Tidak mempunyai kerja tetap sebelum ini kerana sering ditolak atas faktor saiz badan, Alex bagaimanapun bersyukur kerana diberi peluang lain dalam Raja Lawak. Peluang untuk berjumpa dengan artis dan para juri merupakan pengalaman manisnya.

"Saya sebenarnya suka menyanyi dan berlakon. Dengan adanya peluang sebegini, saya lebih mendekati impian. Yalah, kalau saya pergi mana-mana uji bakat, siapa yang mahukan orang seperti saya. Sekarang saya sudah bersedia untuk bergelar anak seni," ujar Alex yang membawa pulang sebuah motosikal Naza Blade 250R dan wang tunai RM8,000.

Saturday, March 13, 2010

SAFWAN (KECIK) : ASAL DARI "RAKAN MUDA"


Safwan semasa mengikuti program Rakan Muda.


Telatahnya selalu menceriakan suasana. Gayanya sering mendatangkan keriangan. Sikapnya disenangi semua. Akhirnya, Safwan Mandeaming kini bergelar seorang juara. Pada 7 Mac 2010 mencatatkan sejarah tersendiri apabila kumpulan KECIK yang dianggotai oleh Safwan dan sahabatnya, Achoe diumumkan sebagai Juara Pertandingan Akhir Gelanggang Raja Lawak Astro musim ke 4.

Seluruh pemimpin dan ahli-ahli Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Safwan atas kejayaan ini. Ini satu lagi bukti nyata bahawa 'produk' Rakan Muda sememangnya berkualiti dan mampu merubah segalanya. Bermula dengan program kemasyarakatan, Safwan mula secara aktif terlibat dalam program-program Rakan Muda anjuran Pejabat Belia & Sukan (Persekutuan) Bahagian Beaufort, Kelab Rakan Muda Beaufort dan Jabatan Belia & Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah antaranya Kem Pesona Remaja - Survivor Rakan Muda Edition, Program Jati Diri Kesukarelaan Nasional (PJKN), Senamrobik Hujung Minggu, Kursus Asas Belia Berpersatuan, Kursus Asas Perniagaan, Program Youth To Youth (Y2Y) Peringkat Parlimen, Kem Gaya Hidup Rakan Muda, Kursus Asas Sukarelawan Rakan Muda Bahagian dan banyak lagi.

KRMB mendoakan semoga Safwan akan terus berjaya dan mengharungi dunia artis dengan kecekalan dan 'pandai-pandailah membawa diri' kerana KRMB yakin segala ilmu yang dikaut sepanjang mengikuti program-program Rakan Muda mampu menjadi panduan dan pedoman yang berguna kepadanya.

Kepada KECIK, tahniah diucapkan. ASAL DARI KAMPUNG, ASAL DARI RAKAN MUDA, ASAL DARI BEAUFORT. KRMB :- Satu Perjalanan Ke Masa Depan.


Safwan & Achoe berkenalan semasa program PJKN.


Aksi KECIK di dalam Raja Lawak.

Thursday, March 11, 2010

ANTARA PANDANGAN DAN KEBIADAPAN


Keratan akhbar untuk menggesa Kelab Rakan Muda dibubarkan.....


Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB) melahirkan perasaan kesal dan membantah atas kenyataan akhbar yang telah dikeluarkan oleh Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Muammar Gaddafi Jamal Wira atas gesaan supaya Kelab Rakan Muda (KRM) di seluruh Malaysia dibubarkan kerana berpendapat fungsi KRM sudah tidak relevan untuk memenangi hati belia masa kini.

Bagi KRMB, kenyataan ini adalah kenyataan yang tidak berasas dan dilakukan kerana tidak memahami tugas, peranan dan fungsi KRM secara zahiriah dan total. Adalah cukup menyedihkan Gerakan Belia 4B yang disifatkan sebagai organisasi 'abang' nampaknya lebih suka melihat 'adik' dimusnahkan dan mahu membolot segala fungsi KRM yang selama ini ternyata berjaya melahirkan generasi muda yang berkaliber, berwawasan dan cemerlang.

Usah mendabik dada kerana di mana-mana negara sekalipun, tidak pernah sebuah pergerakan mengaku dia lebih 'afdal' dan lebih 'bagus' untuk menjalankan peranannya kerana setiap organisasi menjalankan matlamat mengikut gagasan dan acuan masing-masing. KRMB amat sedih kerana budaya cantas-mencantas dan 'membuli' dengan niat untuk melupuskan serta tidak memandang langsung nilai dan kebaikan yang ada pada KRM seluruh Malaysia masih lagi berleluasa dan tambah buruk lagi ianya dilakukan oleh sebuah organisasi yang KRM sendiri tidak faham sejauhmanakah peranan organasasi itu berjaya dalam menjalankan agendanya.

Bak kata pepatah, ukur baju dibadan sendiri, eloklah cerminkan diri dulu sebelum bertindak mencadangkan cadangan yang jumud dan sinis itu. Kenapa jika rasa KRM gagal menjalankan peranannya, hulurkan saja tangan untuk berganding bahu dan menjalinkan kerjasama rapat kerana KRM merangkumi skop pembangunan remaja dari peringkat awal umur dan sebati diperingkat akar umbi. Jangan jadi si bacul, berkokok kuat di luar gelanggang tetapi hakikatnya takut dengan bayang-bayang sendiri.

KRMB tetap menyokong KRM seluruh Malaysia. 1 KRM 1 Suara 1 Malaysia. Pertahankan KRM demi maruah generasi muda.


SELAMAT PENGANTIN BARU KEPADA ABD RAHIM JALANI


Abd Rahim Jalani & Isteri


Selamat Pengantin Baru diucapkan kepada bekas Presiden Penaja Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB), saudara Abd Rahim Jalani yang telah selamat melangsungkan perkahwinan pada 27 Februari 2010 yang lalu di kediaman rasminya di Kampung Brunei, Membakut. Semoga mahligai perkahwinan yang dibina ini akan kekal, bahagia dan aman sentosa serta dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah. AMIN.



Ikhlas Daripada :-
Muhd Junidin Jamlan
PRESIDEN KRMB

Noralizawati Mat Sam
TIMBALAN PRESIDEN KRMB

Nurul Hardy Japar
SETIAUSAHA AGUNG KRMB

Mohd Sharol Saiman
BENDAHARI KEHORMAT

Barisan Ahli Majlis Tertinggi KRMB

Ahli-Ahli KRMB


&


Mohd Halbi Abd Hassan
Bekas Penggerak Rakan Muda Beaufort (2006-2008)

Rayyana Amsir
Bekas Penggerak Rakan Muda Beaufort (2009)

Rynnille Peter
Bekas Presiden KRMB

Mohd Helmi Tuah & Mohd Noh Isir
Bekas Timbalan Presiden KRMB

Sukarelawan Bahagian Beaufort

Bekas Peserta PJKN Bahagian Beaufort 2007 & 2008





Mempelai bersanding dipelaminan.


Abd Rahim tetap dikenang sebagai individu berjasa kepada KRMB.


Kemeriahan di majlis perkahwinan Abd Rahim.


Wednesday, March 10, 2010

PRESIDEN KRMB UNGGULI ANUGERAH SUKARELAWAN TERBAIK PILIHAN KRMB 2009


Sikap bersahaja, rajin dan suka membantu menyebabkan Muhd Junidin disenangi kawan dan lawan.


Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Presiden KRMB, Muhd Junidin Jamlan yang telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Sukarelawan Terbaik Pilihan KRMB 2009 setelah berjaya mendapat undian tertinggi mengatasi 4 finalis yang lain dalam perebutan Anugerah berprestij ini. Proses undian dilaksanakan dengan dua fasa iaitu fasa pertama pengundian secara rawak untuk memilih lima finalis yang akan diundi sekali lagi oleh semua ahli dan pengunjung setia laman blog KRMB dalam fasa kedua pengundian. Proses pengundian ini telah mengambil masa dua bulan bermula dari hujung bulan November 2009 hingga awal Januari 2010.

Bagi pihak kepimpinan KRMB dan seluruh warga Rakan Muda di kawasan Parlimen Beaufort sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada Muhd Junidin atas kejayaan tersebut dan ini merupakan satu pengikhtirafan dan penghargaan atas segala usaha, tenaga dan masa yang telah dicurahkan selama ini kepada pembangunan dan kemajuan generasi Rakan Muda secara keseluruhannya.


Berikut adalah keputusan akhir pengundian Anugerah Sukarelawan Terbaik Pilihan KRMB 2009:-

01. Muhd Junidin Jamlan (49.7 %)
02. Syed Muhammad Alqap (28.8 %)
03. Rynille Peter (25.3 %)
04. Mohd Nadzley Harith (3.6 %)
05. Noralizawati Mat Sam (3.6 %)


Pemenang Terdahulu :-

2008 : Suardi Kadir
2009 : Muhd Junidin Jamlan


Tuesday, March 9, 2010

BARISAN AHLI JAWATANKUASA MAJLIS TERTINGGI KRMB SESI 2010


Muhd Junidin Jamlan berjaya mempertahankan jawatan disamping Noralizawati yang dinaikkan pangkat.



Pada 02 Januari 2010 yang lalu, Kelab Rakan Muda Beaufort telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama setelah mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), Kementerian Dalam Negeri. Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk melantik Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi KRMB yakni daripada jawatan Presiden hingga ke Ahli Majlis Tertinggi selain merangka strategi dan perancangan sepanjang tahun 2010.

Berikut adalah Barisan Kepimpinan KRMB Sesi 2010 :-


PRESIDEN :- Muhd Junidin Jamlan
TIMBALAN PRESIDEN :- Noralizawati Mat Sam
SETIAUSAHA AGUNG :- Nurul Hardy Japar
TIMBALAN SETIAUSAHA :- Uzaiddah Ali Mokthar
BENDAHARI :- Mohd Sharol Saiman

AHLI MAJLIS TERTINGGI

Fazura Sairi
Sarmila Saripuddin
Mohd Noh Isir
Mohd Helmi Tuah
Nurezam Sabiran
Azrul Azwan Abd Lamin


Dalam mesyuarat ini juga telah mencatat sejarah dimana ia diadakan buat julung kalinya di Pusat Kegiatan Rakan Muda Beaufort selain dihadiri oleh bekas Penggerak Rakan Muda Beaufort, Mohd Halbi Abd Hassan dan Rayyana Amsir serta bekas Presiden KRMB (Rynnille Peter) dan dua bekas Timbalan Presiden KRMB ( Mohd Helmi Tuah dan Mohd Noh Isir). Mesyuarat ini juga telah bersetuju untuk melantik saudara Mohd Nadzley Harith sebagai Penasihat Bukan Eksekutif KRMB selaras dengan hasrat KRMB untuk memperbaiki langkah dan pencapaian yang digapai selama ini.


Terima kasih kepada semua yang hadir pada mesyuarat agung ini. Semoga berjumpa lagi pada tahun hadapan. KRMB ; Satu Perjalanan Ke Masa Depan.


Presiden KRMB (berbaju merah) sedang membentangkan pencapaian KRMB.



Sekitar Mesyuarat Agung Tahunan yang dihadiri majoriti daripada 'orang lama' KRMB.



Rayana (empat dari kanan) turut hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan ini.