Sunday, August 30, 2009

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN NEGARA KE 52


Merdeka....Satu Kejayaan Yang Menggamit Memori..


Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!

Kelab Rakan Muda Beaufort mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia Kali Yang Ke 52 yang kita diraikan pada 31hb Ogos setiap tahun. Semoga kemerdekaan negara kita akan kekal buat selamanya dan sebagai generasi muda, sama-samalah kita meningkatkan semangat patriotisme dan perpaduan untuk mengukuhkan jatidiri serta kesinambungan hayat negara kita, MALAYSIA.

Marilah kita sama-sama merenung sejenak susah payah dan pengorbanan pemimpin terdahulu, pasukan keselamatan dan rakyat generasi lalu yang telah mengorbankan apa saja yang mereka ada semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Tunku Abd Rahman, Onn Jaafar, HS Lee, S.Sambanthan dan pahlawan terbilang seperti Tok Gajah, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Mat Salleh, Datuk Maharajalela, Dol Said, Rosli Dhobi dan ramai lagi adalah antara yang berkorban nyawa untuk negara. Bersempena hari yang bersejarah ini, jangan lalai menikmati kesenangan sekarang tanpa mengenang jasa pahlawan-pahlawan tanah air yang berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir.

Bersempena Hari Kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama dedikasikan kejayaan kita pada hari ini kepada semua pejuang kemerdekaan negara. AL-FATIHAH........


Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!


BLOG SUKARELAWAN BAHAGIAN BEAUFORT SEBAGAI PLATFORM BLOG BELIA


Generasi Belia Pemangkin 1 Malaysia...


Salam Rakan Muda,

Selaras dengan perkembangan semasa dan perlantikan cik Noralizawati Mat Sam sebagai Penggerak Belia bagi kawasan Parlimen P.177 Beaufort, laman blog Sukarelawan Bahagian Beaufort akan dijadikan platform dan medium rasmi semua aktiviti, program dan hal-hal yang berkaitan dengan perkembangan belia bagi kawasan Parlimen P.177 Beaufort.

Oleh yang demikian, semua ahli KRMB, pengunjung setia blog serta komuniti Rakan Muda adalah digalakkan untuk melayari laman blog Sukarelawan Bahagian Beaufort. Kenali semua aktiviti pembangunan dan setiap pergerakan aktiviti belia dari masa ke semasa. Di laman ini juga anda boleh berkomunikasi dengan Penggerak Belia kita, Cik Noralizawati.

Ini adalah salah satu sumbangan daripada Sukarelawan Bahagian Beaufort untuk sama-sama membangunkan fasiliti dan spektualiti golongan belia secara keseluruhannya. Semoga medium ini tidak disia-siakan dan semoga berjaya diucapkan untuk komunti belia.


sila klik di bawah.....




Friday, August 28, 2009

RAKAN MUDA RAMADAN DI MASJID KEBATU


Mari kita ke Masjid Kebatu..................


Assalamualaikum WRT & Salam Ramadan,

Seperti yang dijanjikan, Program Rakan Muda Ramadan Tahun 2009 Peringkat Kawasan Parlimen P.177 Beaufort akan diadakan seperti ketetapan yang berikut :-


Tarikh : 29hb Ogos 2009
Venue : Masjid Kebatu, Beaufort, Sabah.
Masa : Program Bermula Selepas Solat Zohor


Berikut adalah antara pengisian Program Rakan Muda Ramadan kali ini :-

* Tadarus Al-Quran
* Khatam Al-Quran
* Majlis Berbuka Puasa
* Solat Asar, Maghrib & Isyak Berjemaah
* Solat Sunat Tarawih
* Ceramah Keagamaan


Program ini dijangka adakan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Ser Musa Hj Aman dan turut akan dihadiri oleh pemimpin setempat antaranya YB Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Beaufort yang juga Penaung KRMB dan YB Dato' Hjh Azizah DSP Hj Mohd Dun , Menteri Pembangunan Masyarakat & Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah merangkap ADUN N.25 Klias serta pemimpin-pemimpin dan pegawai kerajaan pusat dan negeri yang lain.

Jadi kepada semua ahli KRMB, kehadiran anda adalah amat dialu-alukan dan semoga kita dapat sama-sama memakmurkan lagi Masjid Kebatu dengan menyertai setiap program yang telah direncanakan. Datanglah untuk mencari sinar keberkatan. Salam Ramadan......



Thursday, August 27, 2009

JOM SERTAI PROGRAM RAKAN MUDA RAMADAN 2009


Program Rakan Muda Ramadan lahirkan insan budiman...


Assalamualaikum WRT & Salam Rakan Muda,

Kepada semua ahli KRMB & komuniti Rakan Muda, bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak yang mulia ini, Kementerian Belia & Sukan Malaysia menganjurkan satu program yang dinamakan Program Rakan Muda Ramadan khas kepada semua generasi muda. Program ini adalah satu bentuk program kerohanian yang membabitkan program Tadarus al-Quran, Khatam al-Quran, Solat Sunat Tarawih, Majlis Berbuka Puasa dan ceramah keagamaan.

Di kawasan Parlimen Beaufort, pihak Pejabat Belia & Sukan (P) Bahagian Beaufort melalui Penggerak Rakan Muda kita, Cik Rayyana Amsir bersama KRMB akan melaksanakan program ini dalam masa yang terdekat ini. Lokasi program sedang dalam penelitian dan pihak KRMB akan berhubung rapat dengan Penggerak Rakan Muda kita untuk mengetahui lokasi yang terpilih kelak dan akan memaklumkannya di dalam blog ini.

Apapun, semoga para ahli KRMB dapat memanfaatkan program ini dengan sebaiknya untuk mengaut sebanyak mungkin pahala dan kebaikan di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Hubungi Cik Rayyana Amsir di talian 087-211625 untuk penyertaan dan maklumat terkini berkenaan Program Rakan Muda Ramadan 2009.



KBS SASAR 40,000 SERTAI RAKAN MUDA RAMADAN

TEMERLOH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mensasarkan seramai 40,000 belia dan remaja menyertai program Rakan Muda Ramadan sepanjang bulan Ramadan ini dalam usaha memperluaskan pengajaran keagamaan kepada golongan itu. Timbalan Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata KBS memperuntukkan RM1.5 juta bagi penganjuran program itu yang akan diadakan di 1,000 masjid dan surau terpilih di seluruh negara. Beliau berkata, pelbagai acara telah diatur termasuk tadarus Al-Quran, solat sunat tarawih, tazkirah dan ceramah.

"Ini bertujuan untuk meningkatkan tahap ketahanan diri serta memperluaskan pengajaran keagamaan di kalangan belia dan remaja supaya mereka menjadi pemimpin pelapis yang berwibawa pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sungai Gau di sini, malam tadi. Turut hadir bersama kira-kira 1,000 golongan belia itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Pahang, Datuk Mohd Shafik Fauzan Sharif. Razali berkata, program berkenaan yang telah diadakan sejak 15 tahun terbukti berjaya melahirkan golongan belia dan remaja yang bertanggungjawab dan berpengetahuan keagamaan. - Bernama

Sunday, August 23, 2009

CADANGAN PROGRAM UNTUK KRMB


Menjadi yang terbaik lebih mudah daripada mempertahankannya...



Salam Rakan Muda,


Sebagai sebuah Kelab Rakan Muda yang mendahulukan para ahlinya, pihak KRMB membuka peluang kepada semua ahli KRMB dan komuniti Rakan Muda di kawasan Parlimen P.177 Beaufort ini untuk memberikan cadangan, pandangan atau idea untuk penganjuran mana-mana program yang dirasakan perlu dilaksanakan oleh KRMB bagi memenuhi aspirasi dan inspirasi perjuangan KRMB selama ini.


Oleh yang demikian, pihak KRMB mengalu-alukan sebarang cadangan program yang komprehensif, berdaya saing, positif dan memenuhi gaya hidup Rakan Muda untuk diperhalusi oleh barisan kepimpinan KRMB & dimajukan kepada Penggerak Rakan Muda Beaufort untuk pertimbangan perlaksanaannya pada masa akan datang. Semoga ruang dan peluang ini digunakan sepenuhnya oleh ahli-ahli KRMB demi pembangunan dan kemajuan KRMB keseluruhannya.

Pesanan daripada Presiden KRMB, Muhd Junidin Jamlan, jangan lepaskan peluang ini untuk sama-sama membantu memartabatkan KRMB ke medan kecemerlangan dan setiap cadangan ataupun idea yang anda berikan adalah amat dihargai dan pihak KRMB akan menimbangkan untuk menyediakan satu penghargaan kepada anda.

KRMB :- Satu Perjalanan Ke Masa Depan...


Friday, August 21, 2009

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK...


Ramadhan Bulan Keberkatan............

UPDATED

Assalamualaikum WRT & Salam Rakan Muda,

Seluruh Pimpinan & Ahli Majlis Tertinggi KRMB mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh keberkatan ini kepada semua ahli KRMB & komuniti Rakan Muda di seluruh kawasan Parlimen P.177 Beaufort. Semoga Ramadhan pada tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita semua untuk merebut peluang mengabdikan diri serta beramal maa'ruf. Atas kepentingan dan keinsafan bersama, sempena bulan Ramadhan ini pihak laman blog KRMB akan menyiarkan bermula pada hari pertama berkenaan kelebihan-kelebihan fadhilat solat tarawih yang akan bermula pada malam ini.

Selamat Berpuasa diucapkan. Jangan ponteng kerana jika ponteng dengan sengaja maka kita akan tergolong dalam golongan yang rugi dan tidak bersyukur. Di dalam bulan Ramadhan ini semua pintu kebaikan akan dibuka dan semua pintu kejahatan akan ditutup. Renung-renungkan dan selamat beramal....

Sabda Rasullullah SAW, bermaksud :-

"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda. Allah SWT berfirman; melainkan puasa kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika berbuka puasa dan ketika menemui Tuhannya. Bau (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi disisi Allah daripada bau kasturi"

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Allahuakbar...Allahuakbar...Allahuakbar...

Tuesday, August 18, 2009

INFORMASI KEM KEPIMPINAN SUARA BELIA MERDEKA TAHUN 2009


Perkhemahan nadi melahirkan remaja berkualiti..


Salam Rakan Muda,

Pada 13hb Ogos 2009 bersamaan hari Khamis yang lalu, telah berlangsung Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Kem Kepimpinan Suara Belia Merdeka, satu kem yang dikelolakan secara bersama oleh Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Beaufort dan Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB). KRMB telah diwakili oleh Penggerak Rakan Muda Beaufort, Cik Rayyana Amsir dan barisan kepimpinan tertinggi KRMB bersama-sama dengan wakil daripada pihak Pejabat Belia & Sukan (P) Bahagian Beaufort telah mengadakan perbincangan secara terperinci dengan semua pihak yang terlibat khususnya pemimpin Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Beaufort.

Berikut adalah hasil & informasi mesyuarat tersebut :-


Tarikh :
09hb-13hb Oktober 2009

Sasaran :
Pelajar sekolah, belia & beliawanis & ahli persatuan belia / NGO
(Terbuka kepada remaja & belia negeri Sabah / WP Labuan)

Yuran :
RM15

Lokasi Perkhemahan :
Padang Pekan Daerah Beaufort

Lokasi Aktiviti :
Taman Tasik Beaufort, Bukit Bendera, Pekan Beaufort, Air Terjun Batu 60 dan lain-lain......


Pihak KRMB dengan ini menyokong penuh program ini dan akan memberikan kerjasama serta komitmen terbaik untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar. Semua ahli KRMB adalah digalakkan menyertai kem yang sememangnya penting untuk meningkatkan jatidiri dan moral spiritual yang konstruktif. Untuk maklumat program dan penyertaan, bolehlah berhubung dengan En. Kahar Buntak di talian 013-8694190.

Sunday, August 16, 2009

PERUTUSAN KHAS PRESIDEN KRMB SEMPENA ULANG TAHUN KE 2 KRMB


Dirgahayu KRMB......


Assalamualaikum WRT & Salam Rakan Muda,

Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurnia & rahmatnya pada hari ini KRMB meraikan ulang tahun ke 2 penubuhan KRMB. Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga KRMB atas pencapaian ini dan saya mengharapkan agar kekuatan kita sebagai sebuah kelab yang matang akan terus diperkukuhkan demi kepentingan ahli dan komuniti muda di kawasan Parlimen Beaufort ini.

Tidak lupa, saya juga mengucapkan tahniah dan ucapan ribuan terima kasih kepada Cik Rayyana Amsir, Penggerak Rakan Muda Beaufort atas sokongan, dorongan dan komitmen yang diberikan selama ini kepada KRMB. Sesungguhnyan usaha dan tenaga yang dicurahkan selama ini amat berbaloi dengan pencapaian KRMB yang sememangnya sebuah kelab rakan muda yang pantas menerobos ruang kecemerlangan bagi menjana serta melahirkan generasi muda yang berwawasan, berketrampilan dan berkebolehan.

InsyAllah, tidak lama lagi kita akan memiliki sebuah Pusat Kegiatan Rakan Muda kita sendiri. Saya cukup berterima kasih kepada Cik Rayyana kerana begitu serius dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kita mempunyai sebuah Pusat Kegiatan Rakan Muda. Untuk pengetahuan semua ahli KRMB, Pusat Kegiatan ini kelak akan menjadi pusat aktiviti dan program Rakan Muda dan menjadi pentas untuk kita bersua bagi memastikan garapan program yang dicanang menjadi kenyataan. Selain itu, pusat ini juga akan menempatkan Pusat Siber Rakan Muda Beaufort, Pejabat Penggerak Rakan Muda Beaufort dan Pejabat Urusan KRMB.

Buat semua ahli KRMB, marilah kita meraikan ulang tahun ini dengan penuh keinsafan, tawaduk dan bermuhasabah diri kerana hakikatnya kita masih banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki. Bersatulah kita untuk menjamin kesinambungan KRMB sebagai sebuah kelab yang berdikari dan berdedikasi kepada komuniti Rakan Muda akan terus kekal. Saya mengharapkan budaya perkongsian idea, pendapat dan kritikan yang membina dan spiritual akan terus mekar dalam hati semua ahli KRMB. Teruskan sokongan kepada KRMB.


SELAMAT ULANG TAHUN KE 2 KRMB,
KRMB :- SATU PERJALANAN KE MASA DEPAN.

Yang benar,

MUHD JUNIDIN JAMLAN


Friday, August 14, 2009

TRIBUTE UNTUK KRMB : DUA TAHUN KEGEMILANGANMU


Paluan gong oleh Dato' Hjh Azizah simbolik pelancaran..


16 Ogos 2009 adalah tarikh keramat yang amat dinantikan oleh kesemua warga KRMB kerana pada tarikh ini maka genaplah 2 tahun penubuhan KRMB. Bersempena ulang tahun kedua ini, pihak crew blog KRMB mempersembahkan satu Tribute Khas untuk menelusuri sejarah, pahit getir, kejayaan, kemalapan dan cabaran yang datang silih berganti sejak KRMB ditubuhkan.

Kelab Rakan Muda Beaufort, dahulunya dikenali sebagai Kelab Rakan Muda Parlimen P.177 Beaufort ditubuhkan selaras dengan komitmen dan kesungguhan Kementerian Belia & Sukan Malaysia untuk memperkasakan Rakan Muda dalam memantapkan lagi penjenamaan semula Rakan Muda yang digarap kemas oleh Menteri Belia & Sukan pada masa itu iaitu YB Datuk Seri Azalina Othman Said. Oleh yang demikian, pada 16 Ogos 2007, Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB) telah ditubuhkan dan Jawatankuasa Penaja KRMB telahpun diwujudkan dengan menampilkan Abd Rahim Jalani sebagai Presiden, Rynnille Peter sebagai Timbalan Presiden dan Fazli Awang sebagai Naib Presiden. Dibawah jawatankuasa penaja ini, KRMB agresif menjalankan proses keahlian, promosi program Rakan Muda dan mendekati masyarakat agar semua pihak faham dan tahu kenapa KRMB diwujudkan. Sejak tu, KRMB terus mengorak langkah dan akhirnya dalam tempoh 3 bulan, KRMB telahpun mempunyai seramai 450 keahlian. Proses pemantapan jentera pentadbiran juga sentiasa dititikberatkan. Untuk rekod, dalam masa 6 bulan jawatankuasa ini bergerak, pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya Konvoi Aidilfitri Rakan Muda, Konvoi Krismas Rakan Muda, penganjuran bersama Malam Mesra Aidilfitri Rakan Muda dengan Persatuan Belia dan mengadakan program realiti Rakan Muda - Kem Pesona Remaja Survivor Episode 1 Rakan Muda Edition di Klias Wetland, Kota Klias.

Menjelang fasa kedua KRMB, dibawah kepimpinan baru KRMB yang diterajui oleh Rynnille Peter selaku Presiden dan dibantu oleh 3 orang Timbalan Presidennya yang silih berganti (Mohd Helmi Tuah, Mohd Noh Isir & Noralizawati Mat Sam (Pemangku)) bermua pada 1 Februari 2008, KRMB telah mengapai zaman kemuncaknya. Ini ditambah lagi dengan sokongan padu yang diberikan oleh Penaung KRMB pada masa itu iaitu YB Dato' Hjh Azizah DSP Hj Mohd Dun, Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Beaufort. Pada 03 Mac 2008, tarikh yang amat bersejarah buat KRMB apabila Majlis Pelancaran KRMB telah diadakan dengan penuh gilang-gemilang dan warna-warni. Selain menjadi kelab rakan muda pertama yang dilancarkan di Sabah, KRMB juga muncul dengan catatan sejarah apabila berjaya mengumpul 5000 tandatangan dalam masa 12 jam sebagai tanda sokongan kepada YB Dato' Hjh Azizah DSP Hj Mohd Dun sebagai pemimpin untuk generasi muda. Bermula dengan penganjuran Karnival Rakan Muda pada sebelah siang dengan memuatkan pelbagai program seperti senamrobik perdana, pertunjukkan seni mempertahankan diri, khidmat sosial dan gotong royong kebersihan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Beaufort & Pekan Beaufort, pendaftaran keahlian secara besar-besaran dan banyak lagi. Pada sebelah malam, Majlis Pelancaran KRMB disempurnakan sendiri oleh YB Dato' Hjh Azizah dan diserikan lagi dengan kehadiran En. Azmi Ibrahim, Penolong Pegarah (Rakan Muda) Jabatan Belia & Sukan (P) Negeri Sabah, Pn. Shamson Saad (Pegawai Belia & Sukan (P) Bahagian Beaufort), En. Isnin Aliasnih (Naib Ketua UMNO Bahagian Beaufort), Pn. Saridah DSP Hj Mohd Dun (Ketua Puteri UMNO Bahagian Beaufort), pemimpin-pemimpin masyarakat dan lebih 5,000 orang yang memenuhi Dewan Pa' Musa. Persembahan 'live band' dan shuffle serta persembahan seni mempertahankan diri dan kebudayaan adalah antara yang mencuri tumpuan.

Sejak itu, KRMB telah mengorak langkah lebih jauh. Rangka promosi untuk mengetengahkan program Rakan Muda sebagai medan gaya hidup sihat ternyata berhasil dan telah menarik keahlian mencecah 1,000 ahli pada penghujung tahun 2008. Dalam menjaga kebajikan ahlinya, KRMB telahpun mewujudkan jaringan pentadbiran di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menubuhkan Koordinator DUN N.26 Kuala Penyu memandangkan DUN N.26 Kuala Penyu terletak jauh daripada pusat pentadbiran KRMB di Pekan Beaufort. Setiap program Rakan Muda, Belia & Sukan, KRMB sentiasa melibatkan diri dan sering menyumbang kepada kejayaan sesuatu program. Inilah keistimewaan KRMB. Menyedari kepentingan ICT kepada generasi muda, KRMB telah melahirkan laman blog KRMB pada 28 Julai 2008 bagi memenuhi trend semasa generasi muda melalui dunia maya dan ICT. Hasilnya, blog KRMB muncul antara yang terbaik setakat ini dan menjadi medium hampir 10,000 orang di seluruh negeri Sabah dan Malaysia secara amnya. Inilah berkat kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh warga KRMB.

Bermula tahun 2009, KRMB mengalami fasa ketiga iaitu fasa pengukuhan kepada kejayaan KRMB selama ini. Ini sejajar dengan pertukaran Penggerak Rakan Muda Beaufort yang baru, Cik Rayyana Amsir yang terus memantapkan dan memastikan KRMB kekal dilandasan yang betul. Pada 07 Mac 2009, Muhd Junidin Jamlan mengambil alih tampuk kepimpinan KRMB. Pertukaran pemimpin dan majoriti kepimpinan KRMB yang diterajui oleh bakat baru menyebabkan KRMB melakukan pengubahsuaian dalam dasar dan corak kepimpinan. Bagaimanapun itu tidak menghalang KRMB untuk terus bergerak mara ke hadapan. Fasa ini telah menyaksikan blog KRMB berada di pentas kegemilangan. Blog KRMB telah muncul sebagai medan ahli KRMB untuk bersua, memberi pendapat & idea serta mendapatkan pelbagai informasi yang berguna. Hari ini, laman blog KRMB muncul antara laman web yang terpenting bagi generasi muda di Parlimen Beaufort.

Perkembangan terbaru, komuniti Rakan Muda tidak lama lagi akan mendapat sebuah Pusat Kegiatan Rakan Muda khas untuk anda. Manfaatkanlah pusat ini kelak untuk kita sama-sama membangunkan generasi muda yang berwawasan dan berdaya saing. Pusat ini juga akan menempatkan Pejabat Penggerak Rakan Muda Beaufort & Pejabat Urusan KRMB. Dari Krew penerbitan laman blog KRMB mengucapkan selamat ulang tahun kedua kepada KRMB, semoga KRMB akan terus berjaya dan makmur. Dirgahayu KRMB. KRMB :- Satu Perjalanan Ke Masa Depan.



5,000 Tandatangan Dikumpul Dalam Masa 12 Jam....


Pendaftaran Keahlian & Senamrobik Perdana.....


Persembahan Daripada Cabangan Wajadiri......


Penanaman Pokok & Persembahan Shuffle..........

Thursday, August 13, 2009

TAHNIAH NORALIZAWATI MAT SAM !!!!!!


Penggerak Belia......

Salam Rakan Muda,

Seluruh Ahli Majlis Tertinggi KRMB dan Ahli KRMB mengucapkan jutaan TAHNIAH kepada cik Noralizawati Mat Sam, Naib Presiden KRMB kerana telah mendapat tawaran sebagai PENGGERAK BELIA kawasan Parlimen P.177 Beaufort. Pihak KRMB amat berbangga dengan kejayaan ini dan Selamat Bekerja dan Selamat Maju Jaya kami ucapkan kepada Noralizawati yang akan memulakan tugas pada 17hb Ogos 2009 ini. Tahniah sekali lagi.

KRMB sekali lagi membuktikan bahawa KRMB boleh melahirkan pemimpin yang berbakat dan berjiwa besar. Semoga tradisi ini akan terus menerus bersama KRMB. Sebelum ini Penyelaras dan Presiden telah mendapat pekerjaan sebagai Pegawai kerajaan manakala ramai Ahli Majlis Tertinggi mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor.

Bravo KRMB....KRMB: A JOURNEY TO FUTURE..


Monday, August 10, 2009

MESYUARAT JAWATANKUASA PELAKSANA KEM KEPIMPINAN SUARA BELIA MERDEKA


Mesyuarat jangan nda mesyuarat.......


Kepada :-

Kepimpinan Pengakap Cawangan Beaufort,
Penggerak Rakan Muda Beaufort,
Presiden KRMB,
Timbalan Presiden KRMB,
Naib Presiden KRMB,
Setiausaha Agung KRMB,
Bendahari KRMB,
Ahli Majlis Tertinggi KRMB,
& Individu Yang Dijemput...


Satu Mesyuarat yang dinamakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kem Kepimpinan Suara Belia Merdeka akan diadakan bagi membincangkan semua hal yang berkaitan dengan penganjuran kem ini kelak. Berikut adalah butiran mesyuarat :-


Tarikh : 13hb Ogos 2009 (Khamis)
Masa : 2.00 Petang
Lokasi : Bilik Mesyuarat Aras Bawah, Pejabat Daerah Beaufort.

Agenda Mesyuarat :-

01. Ucapan Aluan Oleh Penyelaras Program
02. Perbincangan Perlaksanaan Kem Kepimpinan
03. Hal-Hal Lain


Oleh yang demikian, semua pihak adalah dijemput untuk hadir ke mesyuarat ini bagi menetapkan satu ketetapan untuk menjamin kelancaran pelaksanaan program ini kelak. Program ini adalah anjuran bersama kepimpinan Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Beaufort dan Kelab Rakan Muda Beaufort. Datang jangan tak datang OK...

Saturday, August 8, 2009

CARTA KRMB "A JOURNEY TO BECOME CHAMPION"


Carta KRMB "A Journey To Become Champion"


Salam Rakan Muda,

Hello..kepada semua ahli KRMB dan pengunjung setia blog KRMB, ada satu something special lagi untuk anda. Pihak Admin & pengurusan KRMB akan mewujudkan 'Carta KRMB "A Journey To Become Champion". Apa benda tu? Carta ini adalah sebagai memberi galakkan dan dorongan kepada anda yang aktif memberi komen dan idea di dalam blog KRMB ini.

Justeru, setiap minggu pihak KRMB akan memilih 15 Pengomen terbaik setiap bagi mengisi Carta KRMB ini. Carta ini pastinya akan berubah setiap minggu. Penilaian dan kriteria pengadilan Carta KRMB ini adalah berdasarkan seperti yang berikut :-


01. Kadar Kekerapan Memberi Komen
02. Kualiti dan Kuantiti Komen
03. Idea & Pendapat Yang Bernas & Positif
04. Tidak Membuat Perkara-Perkara Yang Negatif Di Dalam Blog
05. Menggalakkan Perkongsian Idea dan Hubungan Silaturrahim


Bah, apa lagi..kepada anda yang selama ini setia bersama KRMB, teruskanlah menyokong KRMB dan pastikan anda tersenarai di dalam Carta KRMB setiap minggu. Untuk permulaan, Carta KRMB akan diketahui keputusannya pada setiap hari Ahad, setiap minggu bermula pada minggu ini 09 Ogos 2009. Bah.... KRMB, A Journey To Future...



TAWARAN KERJA BUAT AHLI KRMB....CEPAT MOHON SEKARANG JUGA....


Peluang Dah Ada, Jangan Di Kasi Lama...


Salam Rakan Muda,

Kepada semua ahli KRMB, pihak Pejabat Belia & Sukan (P) Bahagian Beaufort melalui Penggerak Rakan Muda Beaufort menawarkan satu peluang pekerjaan kepada anda sebagai Penyelia Pusat Siber untuk berkhidmat di Pusat Kegiatan Rakan Muda yang akan diwujudkan tidak lama lagi. Berikut adalah kriteria perjawatan tersebut :-

PENYELIA PUSAT SIBER

1. Warganegara Malaysia
2. Mempunyai kelulusan yang diikthiraf
3. Mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam bidang komputer & teknologi maklumat.
4. Mempunyai personaliti dan karektor yang baik.
5. Boleh bekerja pada bila-bila masa.

Semoga tawaran ini tidak akan dilepaskan oleh ahli KRMB. Untuk permohonan bolehlah mennghubungi Cik Rayyana Amsir, Penggerak Rakan Muda Beaufort di Pejabat Belia & Sukan (P) Bahagian Beaufort di talian 087-211625 atau datang ke Pejabat Belia & Sukan sendiri di Tingkat 1, Wisma Persekutuan Beaufort. Semoga Berjaya!!!!!........

Friday, August 7, 2009

KOMEN TERBAIK BULAN JULAI


"The Best Comment Of The Month"


Sebagai menghargai sokongan dan keprihatinan semua ahli KRMB dan pengunjung setia blog KRMB ini, pihak pengurusan KRMB telah menyediakan satu segmen khas setiap bulan iaitu Komen Terbaik Bulanan yang mana setiap bulan pihak KRMB akan memilih satu komen terbaik untuk menjadi tatapan kepada semua pengunjung blog KRMB.

Objektif utama segmen ini adalah untuk menggalakkan perkongsian idea dan pendapat secara kolektif, menjana pendapat dan komen yang bermanfaat, positif dan bertanggunggjawab serta mempelbagaikan lagi kelebihan yang ada pada blog ini. Bagaimanapun, komen yang terpilih boleh diubahsuai mengikut kesesuaian tanpa mengubah maksud dan sasaran yang disampaikan. Pihak ADMIN juga akan berusaha menambahbaik kualiti dan karisma komen-komen yang diberikan dan berhak untuk menapis mana-mana komen yang tidak bertanggungjawab dan melanggar etika yang ditetapkan.

Dua komen telah dipilih sebagai Komen Terbaik pada bulan Julai iaitu komen daripada ROMPAKAN bertarikh 25 Julai 2009 didalam POST "BOOTH KRMB...JOM KITA SERBU" dan komen daripada BUDAK BARU BELAJAR bertarikh 25 Julai 2009 juga didalam POST " BOOTH KRMB....JOM KITA SERBU"


Salam Buat Semua.....

Untuk pengetahuan anda SEMUA AHLI KRMB TIADA KEPENTINGAN POLITIK dan jika tidak suka dengan cara kami itu bukan hak mana-mana pihak untuk mempersoalkan...Saya tidak menyatakan saya mahu menjadi DR M dalam KRMB....Apa yang saya dapat...tiada apa2 yang saya dapat...Tetapi saya mahu bertanyakan satu soalan....Sekurang-kurangnya saya mempunyai pendirian dan tidak menyebelahi mana - mana pihak dalm memberikan kritikan.....janganlah jadi seperti kaduk naik junjung ataupun belum merangkak dah nak berlari...jika anda memang betul-betul berkelayakkan seperti yang dikatakan maka buktikan melalui pencapaian bukan melalui kata-kata...

Saya juga ingin bertanya dimana bukti mengatakan bahawa sukarelawan tidak membantu Penggerak dan kepimpinan KRMB dalam merencanakan masa depan KRMB...untuk pengetahuan tidak perlulah para sukarelawan menghebohkan apa yang mereka lakukan dalam memastikan kemajuan KRMB....boleh lihat sekarang En Kahar ada di tapak Grafiti untuk membatu di sana, Saudara Ezwan ada di tapak booth kemarin untuk membantu kelancaran pameran, saudara Halbi mempromosikan di blog, saudara suardi menghebahkan di radio mengenai booth KRMB, dan sukarelawan lain seperti hardi, sarol dll lain lagi ada di sana untuk membantu...jadi apa alasan untuk mengatakan para sukarelawan tidak membantu...Sejuta penghargaan kepada PRESIDEN kerana berjayanya booth KRMB saya ada berkunjung ke sana tadi dan saya cukup salute dgn apa yang saya lihat...

TAHNIAH UNTUK SEMUA

Rompakan


...........................................................................



Salam,

aku tidak terkejut kalau aku di cop sebagai orang yang selalu mencetuskan huru-hara, bagi aku tu pandangan orang yang tidak berwawasan, orang yang bfikiran sempit dan tidak memandang masa depan dengan pandangan yang ikhlas dan jernih. kalau ada menganggap aku dan rompakan serta admin, mr presiden, kazuma yang juga naib presiden serta sukarelawan tidak membantu apa2 dalam perkembangan krmb, elok rasanya kami mengundur diri.

Untuk pengetahuan ko aku menjadi pemerhati krmb selama 6 bulan sebelum aku berani aktif di dalam blog ni, bukanlah aku cakap aku ni bagus sangat sekurang2nya aku memahami apa yang terjadi di krmb walaupun aku bukanlah ajk krmb atau pun apa2.cara ko bercakap juga macam ko sengaja mendatangkan kemarahan orang, ko tahu ka tindakan ko macam ni lah yang akan menjahanamkan keadaan dan krmb, so ko fikirlah siapa yang tidak membantu siapa sekarang ni kan? kenangan dan sejarah amat penting kepada kehidupan, kerana darinya datang sumber inspirasi dan menjadi teladan untuk masa depan, tindakan ko menyuruh melupakan hal yang menjadi kenangan adalah satu idea yang mundur dan primitif, apakah ko tidak tahu kerana sejarah lah Tun Dr Mahathir tidak menerima bantuan IMF semasa kemelut ekonomi dahulu kerana tidak mahu malaysia di jajah lagi, jadi ko fikir jikalau lah Dr Mahathir tidak mengenang sejarah dan kenangan lama, pasti Malaysia tidak akan seperti hari ini..

Aku tidak mahu mengeruhkan suasana kerana hari ini ada insan macam c jambatan ini yang terlalu menutup minda dan akalnya kepada orang lain, aku mahu bagitahu ko yang aku tidak pernah menyebelahi mana-mana pihak dan seperti yang pernah aku nyatakan, aku mengkritik pada benda yang harus kita kritik dan menyokong pada yang patut kita sokong, TIDAK PERLU LAH MENJADI LEMBU JANTAN YANG DI CUCUK HIDUNG, BESAR DAN TEGAP TAPI HANYA MENJADI USUNGAN KE SANA SINI...sekian..

Budak Baru Belajar

SEMINAR PELUANG-PELUANG PERNIAGAAN TANI PERINGKAT NEGERI SABAH


Pertanian Sebagai Kerjaya Pilihan Generasi Muda


Assalamualaikum WRT & Salam Rakan Muda,

Kepada semua ahli KRMB & rakan muda, satu seminar yang dinamakan Seminar Peluang-Peluang Perniagaan Tani Peringkat Negeri Sabah akan diadakan bagi memberi peluang kepada semua belia yang ada untuk menjadikan perniagaan sebagai satu kerjaya pilihan. Oleh itu, pihak Jabatan Belia & Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah selaku penganjur mengalu-alukan penyertaan daripada semua untuk mengambil kesempatan terbaik ini untuk memulakan kerjaya di dalam bidang pertanian. Berikut adalah butiran seminar :-


Tarikh : 13hb-14hb Ogos 2009
Venue : Sandakan Hotel, Sandakan, Sabah.
Pendaftaran pada 13hb Ogos 2009
jam 8.00 - 10.00 Pagi


Dimaklumkan bahawa penginapan dan makan minum adalah ditanggung disediakan oleh pihak penganjur manakala pengangkutan adalah atas tanggungan peserta sendiri. Untuk mendapatkan borang silalah datang ke Pejabat Belia & Sukan (P) Bahagian Beaufort, Tingkat 1, Wisma Persekutuan Beaufort atau menghubungi melalui talian 087-211625. Tarikh tutup penyertaan dan pengembalian borang adalah pada 11hb Ogos 2009.


Pengisian Program :-

Ceramah 1 :- Pertanian Sebagai Perniagaan
Ceramah 2 :- Dana & Skim Pembiayaan Pertanian
Ceramah 3 :- Kemudahan Pemasaran Hasil Pertanian
Taklimat Khas :- Skim Tabung Ekonomi Belia (STEB).

Saturday, August 1, 2009

WUJUDKAN JAWATAN KETUA PENERANGAN KRMB : AHLI KRMB





Tinjauan melalui undian yang dilakukan selama hampir 1 bulan setengah yang dilakukan ke atas semua Ahli KRMB & pengunjung setia KRMB telah memutuskan syor supaya jawatan Ketua Penerangan KRMB diwujudkan bagi mengimbangi untuk tujuan kestabilan KRMB serta melakukan tugas-tugas penerangan mengenai isu-isu yang berbangkit serta mempromosikan semua kegiatan dan aktiviti KRMB kepada semua ahli & masyarakat Rakan Muda khususnya di kawasan Parlimen Beaufort. Berikut adalah hasilan tinjauan tersebut :-


Wajarkah Jawatan Ketua Penerangan KRMB diwujudkan? :-


(90%) WAJAR
(64%) PERLU PERBINCANGAN LANJUT
(02%) TIDAK WAJAR
(02%) TIDAK PASTI


Ahli KRMB telah membuat penilaian dan terpulang kepada pengurusan tertinggi KRMB untuk memutuskannya. Semoga tinjauan ini membawa manfaat yang banyak kepada kemajuan dan pembangunan KRMB menuju ke arah kecemerlangan. KRMB ; A Journey To Future.