Sunday, May 31, 2009

SELAMAT MENYAMBUT TADAU KAAMATAN


Tadau Kaamatan 2009.

KRMB mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan Tahun 2009 kepada semua Ahli KRMB yang berbangsa Kadazan Dusun dan Murut. Semoga sambutan ini akan dapat meningkatkan lagi kemewahan dan kualiti hidup yang lebih baik . KOTOBIAN TADAU KAAMATAN.

Jangan lupa untuk kita sama-sama memeriahkan Sambutan Rumah Terbuka Pesta Kaamatan Negeri Sabah yang akan diadakan pada 06 Jun 2009 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Jumpa Di Sana.........Mari kita tengok sumandak Unduk Ngadau....Hehehehe

Thursday, May 28, 2009

PENUNDAAN MESYUARAT PENGURUSAN KRMB


PENGUMUMAN

Sukacita dimaklumkan Mesyuarat Pengurusan Kelab Rakan Muda DITANGGUHKAN ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Pihak KRMB memohon maaf atas segala kesulitan yang tidak disengajakan. Harap Maklum...

Sila terus berhubung dan mengikuti perkembangan blog ini untuk mendapatkan maklumat semasa. Terima Kasih.

Setiausaha Agung KRMB
b/p Pengerak Rakan Muda Beaufort


Tuesday, May 26, 2009

BINGKISAN BUAT SEMUA


Rayyana Bte Amsir

Assalamualaikum WMT, Salam Sejahtera & Salam Perpaduan,

Salam perkenalan buat semua ahli kelab yang selama ini kurang mengenali saya, bukan sengaja menenggelamkan diri tetapi tugas sebagai Penggerak Rakan Muda tidak semudah yang disangka. Terlalu banyak benda yang perlu saya pelajari dan tidak saya sangkalkan saya memerlukan sokongan daripada anda semua khususnya daripada Penggerak Rakan Muda Beaufort yang lama dan Ahli Rakan Muda yang taat setia selama ini.

Terus terang selama hampir 3 bulan bertugas terlalu banyak kerenah yang perlu saya tangani..dan terlalu banyak kata-kata kurang enak dari ahli kelab saya terima...Saya mungkin tidak secerdik yang KRMB harapkan tetapi harapan saya sangat besar buat KRMB dan andai harapan ini tidak dapat saya laksanakan semasa menjadi Penggerak InsyaAllah saya akan membantu sedaya upaya agar para remaja yang ada disekeliling saya tahu menghargai sepenuhnya masa remaja mereka.

Sikap bekerjasama sememangnya perlu diterapkan dalam hati setiap manusia, kerana sesebuah ikatan mahupun kumpulan itu akan kuat dan gagah seandainya setiap orang memiliki semangat “kebersamaan”, kerjasama dan perpaduan. Resepi inilah yang perlu dikembalikan pada KRMB. Mungkin terlalu awal untuk saya menilai ahli KRMB yang sedia ada tetapi sebagai Penyelaras saya mengharapkan ikatan yang dulu kembali dan seterusnya membangkitkan semangat ahli kelab yang baru kerana saya juga ingin melihat sendiri ‘kehebatan” yang pernah dilakar oleh KRMB sebelum ini.

Saya menghargai bantuan yang telah saya terima tetapi itu semua tidak mencukupi, saya perlukan lebih banyak kerjasama dan semangat anda semua pada saya. Tidak perlu ada perbandingan antara saya dengan sesiapa kerana masing-masing mempunyai cara yang berbeza sama seperti rakyat Malaysia yang sudah bertukar tampuk pimpinan begitu juga dengan KRMB namun ingin saya tekankan sekali lagi tidak semua manusia itu mempunyai cara yang sama dalam mengusahakan sesuatu, InsyaAllah saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menaikkan semula KRMB dan seterusnya menjadi salah satu kelab yang mampu menarik perhatian lebih ramai remaja untuk menyertainya khususnya diseluruh Parlimen Beaufort.

Sekian Terima Kasih…



MEMO
MESYUARAT PENGURUSAN KRMB KALI PERTAMA

Assalamualaikum WRT, Salam Sejahtera & Salam Rakan Muda

Kepada : Presiden KRMB, Naib Presiden KRMB, Setiausaha Agung, Penolong Setiausaha, Bendahari, Ahli Majlis Tertinggi & Para Jemputan

Saudara dan Saudari adalah dijemput hadir ke Mesyuarat Pengurusan Kelab Rakan Muda Beaufort kali yang pertama yang akan diadakan seperti ketetapan yang berikut :-

Tarikh : 30 Mei 2009 (Sabtu)
Masa : 10.00 Pagi
Tempat : Bilik Mesyuarat, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Daerah Beaufort, Jalan Jampangah, Beaufort.

Agenda :
01. Ucapan Oleh Presiden KRMB
02. Ucapan Oleh Penggerak Rakan Muda Beaufort
03. Pengisian Jawatan Kosong & Perlantikan Ahli Majlis Tertinggi
04. Perbincangan Program & Aktiviti KRMB
05. Perbincangan Permasalahan Semasa
06. Hal-Hal Lain

Kehadiran adalah wajib. Sebarang ketidakhadiran tanpa sebab yang munasabah akan dipertimbangkan untuk diambil tindakan. Kerjasama adalah amat diharapkan untuk sama-sama membangunkan KRMB. Sekian dan terima kasih.

Penggerak Rakan Muda Beaufort

Monday, May 25, 2009

KLINIK GRAFITI RAKAN MUDA PARLIMEN P.177 BEAUFORT TAHUN 2009



Peserta Klinik Grafiti Rakan Muda 2009


Sesi Taklimat & Proses Pembelajaran Seni Grafiti

Sebelum kejohanan Futsal Challenge Rakan Muda bermula, Kelab Rakan Muda Beaufort juga telah menjadi host bersama Pejabat Belia & Sukan (Persekutuan) Bahagian Beaufort menganjurkan Klinik Grafiti Rakan Muda Peringkat Parlimen Beaufort. Program ini telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Beaufort II bermula pada 8hb April hingga 10hb April 2009. Penyertaan yang rata-ratanya adalah pelajar sekolah ini amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 50 orang peserta.Klinik ini telah dikendalikan oleh jurulatih seni lukisan yang tidak asing lagi di Beaufort, Cikgu Hassan Majin yang juga merupakan artis Balai Seni Lukis Negara, Kota Kinabalu.

Program ini yang berkonsepkan pertandingan antara kumpulan telah berjaya mengetengahkan bakat yang terpendam. Seorang peserta yang ditemui berharap program ini akan dapat diadakan pada setiap tahun kerana minat terhadap seni grafiti memerlukan pendedahan yang berterusan untuk menjamin tahap pencapaian seni yang baik. Keputusan pertandingan telah mengikhtiraf kumpulan Destinasi sebagai muncul Johan, Naib Johan kumpulan D-Mag dan ketiga kumpulan Freedom. Program ini telah dirasmikan oleh Cikgu Nor Zam, Penolong Kanan (Pentadbiran) SMK Beaufort II. Pihak JBS dan KRMB mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak SMK Beaufort II atas segala kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini. Sekian, jumpa lagi di program yang lain.




Juara Klinik Grafiti, Destinasi.


Naib Johan (kiri) D-Mag dan Tempat Ketiga (Kanan) Freedom


FUTSAL CHALLENGE RAKAN MUDA PARLIMEN BEAUFORT EDISI TAHUN 2009


Gambar kenangan bersama perasmi.


Kerancakan kejohanan Futsal Challenge Rakan Muda


Pada 18hb-19hb April 2009, Pejabat Belia & Sukan (Persekutuan) Bahagian Beaufort dengan kerjasama Kelab Rakan Muda Beaufort telah menganjurkan Kejohanan Futsal Challenge Rakan Muda yang diadakan di Padang Pekan Daerah Beaufort. Kejohanan ini telah berjaya menarik minat ramai penyertaan daripada para generasi muda di kawasan Parlimen Beaufort. Penyertaan yang dibuka seawal pagi telah mendapat sambutan dan sehingga ditutp pendaftaran, sebanyak 54 penyertaan telah diterima. Hal ini adalah diluar jangkaan, bagaimanapun inilah yang sebenarnya diharapkan.


Dalam kejohanan ini, pasukan Hailboy telah muncul juara setelah menumpaskan pasukan Kelab Jiran Muda (KJM), Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional Daerah Beaufort dalam aksi final. Tempat ketiga pula telah dimenangi oleh pasukan Bingkul Junior, sebuah pasukan yang memang tidak asing lagi di daerah Beaufort. Apapun, sasaran untuk melahirkan generasi bersukan dan mencungkil bakat-bakat baru dari sukan ini ternyata berhasil dan berjaya dicapai. Majlis Perasmian Program ini telah disempurnakan oleh En. Mohd Ainol Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun, wakil Menteri Pembangunan Masyarakat & Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah, YB Dato' Hjh Azizah Datuk Seri Pangliman Hj Mohd Dun.



Naib Johan (kiri) Kelab Jiran Muda dan Ketiga (Kanan) Bingkul Jr

.
Juara Futsal Challenge, HAILBOY

Saturday, May 23, 2009

PROGRAM ANUGERAH REMAJA PERDANA RAKAN MUDA PARLIMEN BEAUFORT


Ahli Jawatankuasa Pelaksana & Peserta bersama YB John Toe

Kawasan Perkhemahan & Keindahan Alam Pantai Sawangan


Pada 15hb-17hb Mei 2009, bertempat di Pantai Sawangan, Kuala Penyu, Pejabat Belia & Sukan (Persekutuan) Bahagian Beaufort dengan kerjasama Kelab Rakan Muda Beaufort (KRMB) telah mengadakan Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Peringkat Parlimen Beaufort. Program yang berkonsepkan explorasi diri, penjelajahan alam dan khidmat kendiri ini telah disertai seramai 45 orang peserta dari seluruh kawasan Parlimen Beaufort. Pegawai Penyelaras yang juga Penggerak Rakan Muda Beaufort, Cik Rayyana Amsir berkata program ini merupakan satu program yang menguji ketahanan mental dan fizikal serta memupuk perasaaan cintakan alam sekitar untuk mewujudkan generasi yang berhemah dan prihatin dengan keadaaan sekeliling.

Program ini dikendalikan oleh Kem Komandan yang tidak asing lagi di Beaufort, En. Kahar Buntak dan dibantu oleh En. Suardi Kadir, En. Mohd Alifah Mohd Noor dan beberapa sukarelawan KRMB antaranya En. Mohd Ezwan Hj Salleh. Di akhir program, beberapa peserta telah ditemui dan rata-rata memberi pendapat yang positif yang antara lain memuji keberkesanan program ini untuk meningkatkan motivasi, semangat dan kesungguhan untuk menjadi insan yang terbaik, meningkatkan rasa prihatin kepada alam sekitar serta mengukuhkan hubungan silaturahim antara peserta dari pelbagai tempat dan latar belakang. Para krew program kali ini juga telah berjaya menjalankan tugas dengan baik sehingga mendapat pujian daripada perasmi program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.26 Kuala Penyu, YB John Teo dan juga para peserta.

Program ini telah dirasmikan oleh YB John Teo dan segalanya berjalan lancar semasa Majlis Perasmian berlangsung. Semoga program ini akan terus berjaya dan diadakan pada setiap tahun untuk menjamin membangunkan generasi muda yang berkualiti dan berdaya saing. Terima kasih diucapkan kepada Majlis Daerah Kuala Penyu atas segala kerjasama yang diberikan dan sekalung ucapan penghargaan juga diberikan kepada Persatuan Belia Daerah Kecil Menumbok, Persatuan Belia Kg Tidong dan Persatuan Belia Kg Tempurung atas sokongan dan minat yang ditunjukkan untu sama-sama menjayakan program ini. Jumpa lagi pada masa akan datang.......


Tentatif Program

15hb Mei 2009

2.00 PM : Pendaftaran
5.00 PM : Taklimat Program
8.00 PM : Ice Breaking & Pembentukan Kumpulan

16hb Mei 2009

6.00 AM : Seni Kecergasan
8.00 AM : Explorasi Alam
2.00 PM : Rakan Muda Niaga
4.00 PM : Apresiasi Generasi Muda
8.00 PM : Malam Kesenian

17hb Mei 2009

6.00 AM : Seni Kecergasan
8.00 AM : Final Destination
10.00 AM: Majlis Perasmian Penutup
11.30 AM: Sayonara

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program......


Sunday, May 17, 2009

TAHNIAH KEPADA KREW ANUGERAH REMAJA PERDANA PARLIMEN BEAUFORT 2009


YB John Teo, ADUN N.26 Kuala Penyu.

Hari ini 17hb Mei 2009, tepat jam 10.20 pagi tadi maka rasmilah Majlis Perasmian Penutup Program Anugerah Remaja Perdana (ARP) Peringkat Parlimen Beaufort tahun 2009. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh YB Tuan John Teo Mau Sing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.26 Kuala Penyu. Dalam ucapan YB John, beliau amat berterima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan (P) Bahagian Beaufort kerana telah memilih Pantai Sawangan, Kuala Penyu sebagai destinasi program pada kali ini.

Apapun, walaupun menghadapi pelbagai cabaran semasa program di samping beberapa kekurangan kemudahan yang ada di sini, YB John merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pasukan Ahli Jawatankuasa Program yang diketuai oleh Cik Rayyana Amsir selaku Penggerak Rakan Muda Beaufort, Kem Komandan En.Kahar Buntak, barisan urusetia yang diketuai oleh saudara Suardi Kadir, saudara Mohd Alifah Mohd Noor dan semua peserta atas kerjasama yang baik dan dapat melaksanakan tugasan yang sempurna dan berkesan.

Beliau mengharapkan akan lebih banyak program dapat diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri N.26 Kuala Penyu memandangkan generasi muda di kawasan ini juga memerlukan program yang berkualiti untuk membentuk jati diri yang kematangan yang ampuh. Selain itu, kawasan ini juga menyediakan lokasi yang amat sesuai untuk program berbentuk cinta alam dan pengembaraan.

Terima kasih YB atas ucapan dan penghargaan tersebut. Kepada krew ARP, tahniah dan syabas diucapkan, walaupun dalam kekuatan anggota yang terhad, kita berjaya mengharungi dan membuatkan program ini mencapai objektif yang disasarkan. Kepada semua warga KRMB, jangan lepaskan peluang untuk menyertai program-program yang dianjurkan sepanjang tahun ini. Dikhabarkan satu program lagi yang berbentuk cinta alam akan diadakan di Pulau Tiga, Pulau edisi pertama rancangan realiti terkenal diseluruh dunia, SURVIVOR. Jumpa di sana.......

Friday, May 15, 2009

PERUTUSAN KHAS PRESIDEN KRM BEAUFORT SEMPENA HARI BELIA NEGARA 2009


Muhd Junidin Jamlan

Assalamualaikum WRT, Salam Sejahtera & Salam Rakan Muda

Hari ini, 15 Mei 2009 merupakan Hari Belia Negara. Saya mewakili warga KRMB mengucapkan Selamat Hari Belia Negara 2009. Semoga golongan belia terus mendapat pengikhtirafan dan penghargaan serta menyumbang sesuatu yang berguna kepada bangsa, agama dan negara. Semoga signifikan dan sumbangan warga belia akan terus dihargai dan konsisten dalam menghasilkan golongan yang berkebolehan tinggi dan berdisiplin.

Menyentuh mengenai KRMB, saya mengharapkan semua jentera pemimpin KRMB bangkit daripada tidur. KRMB sejak akhir-akhir ini mengalami zaman kemerosotan dan sering mendapat tekanan. Namun begitu, saya tidak menganggap ini satu masalah kerana cabaran dan dugaan akan silih berganti memandangkan KRMB adalah sebuah kelab yang mantap dan terbukti berjaya selama ini. Saya menyeru kepada semua AJK untuk bersatu dan bekerjasama bersama Penggerak Rakan Muda Beaufort yang baru, Cik Rayyana Amsir untuk sama-sama mengembalikan KRMB ke landasan yang betul dan seterusnya menjadi sebuah kelab yang menjadi wadah pembangunan rakan muda khususnya di kawasan Parlimen Beaufort.

Akhir kata, kita ikhlaskan diri dan kembali bergabung tenaga dalam menjayakan aspirasi generasi muda. Dengan pelbagai program yang direncanakan oleh Penggerak Rakan Muda yang kita sayangi, kita berharap setiap apa yang dirancangkan akan mencapai kejayaan yang berkesan dan mendatangkan impak yang positif. Sekian dan terima kasih.

SELAMAT HARI BELIA NEGARA 2009




15 Mei 2009! Seluruh warga KRMB mengucapkan Selamat Hari Belia Negara 2009. Semoga para belia dapat bergerak proaktif, inovatif dan konsisten dalam usaha kita meningkatkan wibawa golongan belia di negara ini. Bermula hari ini sehingga 17hb, sambutan Hari Belia Negara 2009 Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Malacca International Trade Centre (MITC), Melaka amat signifikan dalam menghargai sumbangan dan keberadaan 12 juta belia di tanah bertuah ini. 1 MALAYSIA BELIA BERWAWASAN PENGGERAK KEJAYAAN.

Wednesday, May 13, 2009

PROGRAM LKTF - MEMBUAT KEK BERJAYA MENCAPAI SASARAN




Tahniah buat Kelab Rakan Muda Beaufort kerana telah berjaya membantu dan menjayakan Program Latihan Kemahiran Tidak Formal (LKTF) Membuat Kek yang telah diadakan pada 28hb-30hb April 2009 yang lepas bertempat di Rumah Rehat Kerajaan Daerah Beaufort. Program ini telah disertai seramai 34 orang peserta ini telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran dalam penghasilan produk kek yang terbaik selain informasi-informasi berkaitan bagi membolehkan para peserta membuka perniagaan secara kecil-kecilan atau sambilan.

Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Hjh Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun, Menteri Pembangunan Masyarakat & Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah. Dalam ucapannya, beliau berkata “Kerajaan sentiasa prihatin membela nasib rakyat di negeri ini khasnya dan di negara ini amnya perlu disyukuri dan dimanfaatkan sebaik mungkin kerana kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang begitu besar untuk memberikan kemahiran dan nilai tambah kepada rakyat di negara ini". Dato' Hjh Azizah juga menyeru kepada Jabatan Belia & Sukan (P) Bahagian Beaufort agar memantau hala tuju peserta kerana mereka perlu dibimbing tidak hanya membiarkan mereka tidak mendapat sijil semata-mata tetapi mereka boleh menggunakan kelebihan yang ada untuk mendapatkan pendapatan sekaligus membantu ekonomi keluarga.

Kehadiran ahli-ahli KRMB yang menjadi peserta dan penyelaras program amat membanggakan dan semoga mereka mendapat manfaat yang diharapkan serta tidak mensia-siakan ilmu yang telah dipelajari selama 3 hari mengikuti kursus ini. Jumpa lagi pada program yang akan datang. Adios.


PROGRAM ANUGERAH REMAJA PERDANA RAKAN MUDA PARLIMEN BEAUFORT





Program Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Peringkat Parlimen Beaufort akan diadakan pada 15hb Mei hingga 17hb Mei 2009 bertempat di Pantai Sawangan, Kuala Penyu. Justeru itu kepada semua ahli KRMB dan golongan rakan muda (terutama berumur 17-24 tahun) di sekitar daerah Kuala Penyu dan Beaufort yang berminat adalah dijemput untuk mengikut program ini dengan menghubungi Penggerak Rakan Muda Beaufort, Cik Rayyana Binti Amsir di talian 087211625.

Program Anugerah Remaja Perdana (ARP) Rakan Muda ini Parlimen Beaufort yang berkonsepkan perkhemahan dan pembinaan khidmat kendiri ini adalah tahun ketiga perlaksanaannya yang mana pada tahun 2007 dan 2008, ARP Parlimen Beaufort dilaksanakan berkonsepkan program survivor dan cabaran untuk membentuk jati diri dan ketahanan minda serta fizikal peserta. Berikut adalah ringkasan program ARP tahun 2007 dan 2008.


01. KEM PESONA REMAJA - SURVIVOR RAKAN MUDA EDITION 2007

Tarikh : 03-06 November 2007
Tempat : Borneo Proboscis, Klias Wetland, Kota Klias, Beaufort.
Juara Survivor : Abd Wafi Bin Wahid


02. PROGRAM PERKHEMAHAN & PENGEMBARAAN ARP 2008
Tarikh : 01-03 Ogos 2008
Tempat : SM St. Paul, Beaufort, Sabah.
Juara Survivor : Nurhasmizza Binti Hashim